Jumaat, 22 Februari 2013

Boo Cheng Hau tidak akan dikenakan tindakan disiplin, kata Tan Kok Wai

TERKINI

KUALA LUMPUR — Pengerusi DAP Johor Dr Boo Cheng Hau yang menyuarakan secara terbuka krisis dengan Pengerusi PKR Johor, Datuk Seri Chua Jui Meng, berhubung perebutan kerusi Parlimen Gelang Patah tidak akan dikenakan tindakan disiplin, kata Timbalan Pengerusi Biro Pilihan Raya DAP Tan Kok Wai.

Tan (gambar) ketika menjelaskan perkara itu kepada pemberita hari ini berkata, tindakan yang diambil Dr Boo hanyalah menyuarakan perasaannya, tiada kena mengena dengan disiplin.

“Tidak perlu ... Ia hanya luahan perasaan bukannya melibatkan disiplin,” kata Tan kepada pemberita.

Ahli Parlimen Cheras itu turut berkata, beliau yakin akan ada “kesudahan yang menggembirakan” antara dua tokoh politik Johor berkenaan memandangkan mereka berdua menyatakan kesediaan untuk berdamai.

“Kedua-dua pihak telah menyatakan kesediaan untuk kembali berdamai,” kata Tan.

Dr Boo dan pengerusi PKR Johor sebelum ini bertelagah berikutan perebutan kerusi Parlimen Gelang Patah, dan pertelagahan itu turut tersebar secara terbuka apabila ketua DAP Johor itu mengeluarkan kenyataan kepada media.

Pengerusi DAP Johor itu sebelum ini telah bersetuju untuk menyelesaikan kemelut perebutan kerusi di negeri berkenaan mengikut saluran dalaman, sambil mengganggap kontroversi yang melanda kedua-dua parti komponen utama PR itu telah tamat.

Beliau turut memberi keyakinan kepimpinan PR mampu mencari kata sepakat dalam menyelesaikan kemelut melibatkan isu perebutan kerusi di Gelang Patah yang dibangkitkannya sebelum ini.

“Saya setuju dengan nasihat dan arahan setiausaha agung (Lim Guan Eng) segala perbezaan mempunyai jalan penyelesaian secara dalaman,” kata Dr Boo hari ini.

“Saya mahu berterima kasih kepada Karpal Singh, Lim Guan Eng dan Tan Kok Wai atas nasihat mereka, sokongan dan memahami kenyataan yang saya luahkan tentang hubungan PR di Johor.”

Pada 18 Februari lalu, Dr Boo secara terbuka menggesa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan bagi menyelesaikan kemelut perebutan kerusi di negeri Johor serta menyatakan tidak yakin dengan kepimpinan PKR negeri yang dipimpin Dr Chua.

Dr Boo dilihat tidak berpuas hati dengan ketua PKR Johor tersebut selepas secara terbuka menyatakan langkah DAP berhasrat mahu meletak ahli parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong bertanding di Gelang Patah sebagai tidak matang.

Tambah Dr Boo tujuan kritikan tersebut bukan untuk memburukkan gabungan parti dalam PR tetapi sebaliknya mengingati sesama sendiri dalam PR supaya tidak terlalu yakin untuk memenangi kerusi di Johor sehingga mengabaikan permuafakatan antara DAP, PAS dan PKR.

Beliau turut berkata PR di Johor tidak berhadapan sebarang masalah dalam menyelesaikan masalah kerusi sehinggalah Dr Chua menyertai mereka pada 2009.

Dr Boo turut mengkritik langkah bekas menteri kesihatan tersebut yang mengumumkan dirinya sebagai calon di Gelang Patah walaupun pembahagian kerusi masih dalam perundingan serta menasihatkan Dr Chua supaya tidak membawa budaya politik MCA ke dalam PR.

Ekoran kritikan secara terbuka itu, Karpal kemudiannya berkata DAP akan melancarkan satu siasatan bagi mengesahkan tuduhan tersebut dan mencari mereka yang bertanggungjawab ke atas serangan tersebut.

Walaubagaimanapun, Lim kemudiaannya telah mengarahkan Dr Boo dan Dr Chua supaya tidak lagi mengeluarkan kenyataan kepada umum selepas berbincang dengan Anwar menerusi telefon dan menegaskan sebarang masalah berkaitan perebutan kerusi perlu berunding dengan pemimpin tertinggi kedua-dua parti sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Lim juga berkata perkara tersebut akan menguntungkan Barisan Nasional (BN) yang menjadikan isu tersebut sebagai kempen pilihan raya nanti.

Tiada ulasan: