Ahad, 17 Februari 2013

BN Kedah harap keajaiban balak selepas gagal isu lain



Oleh ZULKIFLI YAHAYA

UNTUK kali kedua BN Kedah menghimpunkan penyokongnya dari seluruh pelosok negeri di Charok Genting Bunga bagi melakukan 'battle cry' terhadap isu pembalakan yang kononnya berlaku dengan rakusnya di bawah Pakatan Rakyat

Mereka mendakwa 12,000 orang berhimpun kali ini, lebih 2,000 orang berbanding perhimpunan pertama.

Setiap peserta perhimpunan dibekalkan dengan baju-T percuma, minyak motosikal untuk konvoi, wang sagu hati dan makanan. Ditambah dengan bayaran untuk artis jemputan, sewa ratusan buah khemah, publisiti dalam pelbagai bentuk - maka jumlah yang dianggarkan tidak kurang RM1 juta dibelanjakan untuk himpunan kali kedua.

Himpunan kali pertama juga tidak kurang besar belanjanya apabila orang kampung yang tidak tahu apa-apa dikerahkan dengan beratus-ratus buah bas, hadir terpinga-pinga mendengar ucapan Dato' Ibrahim Ali.

Persoalan menarik ialah, mengapa BN Kedah sanggup melaburkan wang dan masa dengan begitu banyak hanya untuk memfokuskan isu yang satu, iaitu balak? Cukupkah dengan isu tersebut untuk menumbangkan Pakatan di Kedah?

Hakikatnya, di negeri Jelapang Padi ini pembangkang memang ketandusan isu sejak awal lagi. Kalau mereka peroleh isu pun ia hanya untuk sementara waktu, akhirnya isu tersebut tidak memihak kepada mereka.

Isu cadangan meroboh ganti Madrasah Salihiah untuk projek Aman Central dikira cukup besar. Himpunan demi himpunan diadakan, hingga akhirnya Menteri Besar turut diheret ke mahkamah. Namun ia selesai dalam keadaan hampir tiada siapa pun peduli mengenainya, bahkan sewaktu bangunan madrasah itu diroboh tiada satu biji mata pun yang bersagang nyawa untuk 'menyelamatkannya'.

Sebabnya, dari awal isu tersebut berpihak kepada kerajaan Negeri, cuma menghadapi tentangan yang dibuat-buat tanpa prinsip. Bahkan sewaktu mereka mempertikaikan kaedah Istibdal yang diguna pakai oleh kerajaan negeri, mereka kantoi apabila yang memberi penjelasan mengenainya bukan Exco kerajaan tetapi Mufti.

Isu penyelewengan dalam penyelenggaraan perumahan awam yang melibatkan kerugian sebanyak RM2.55 juta seperti dilaporkan oleh Ketua Audit Negara bagi laporan audit 2011 juga tidak mampu bertahan.
Mulanya BN sungguh ghairah menyerang kerajaan negeri tetapi termonyeh akhirnya apabila pegawai yang didakwa terbabit dengan penyelewengan itu adalah 'orang kuat' Umno Kedah.

Kenaikan tarif air sebanyak RM0.10 untuk satu meter padu air juga tidak bertahan lama kerana rakyat Kedah tidak merasa beban kenaikan akibat yang terlalu kecil, berlaku pula dalam tempoh yang lama. Apatah lagi kualiti perkhidmatan air jauh lebih baik berbanding di zaman BN dahulu.

Isu air yang berlaku di selatan dan utara Kedah selesai akhirnya dengan pembinaan logi pembersih air baru di Lubuk Buntar, Sik dan Padang Sanai. Tiada lagi cerita mahasiswa UUM membawa baldi, menadah air dari lori tangki di tepi jalan tetapi cerita yang kedengaran ialah paip lama di kampus itu pecah kerana tidak mampu menahan tekanan air yang terlalu kuat.

Apabila BN menyerang kerajaan negeri dalam isu pertambahan pusat hiburan, serangan itu berpatah balik kepada mereka kerana pertambahan pusat hiburan haram mesti dipantau oleh pihak polis, sedang polis adalah agensi Persekutuan. Dari aspek lain, akibat terlalu kuat menyerang pusat hiburan mereka ditempelak oleh rakan sekutu Gerakan dan MCA, akhirnya Umno menikus dalam isu tersebut.

Isu kerugian balak dalam pelaburan Kedah Corporation Berhad (KCB) di Papua New Guinea sebanyak RM6.4 juta juga tidak dapat bertahan lama. Ia 'lekat di celah gigi' apabila muncul pendedahan penyelewengan dan bebanan di zaman BN yang jauh lebih besar iaitu sebayak RM403 juta!

Itu baru jumlah bebanan yang akibatnya ditanggung oleh kerajaan negeri kini. Kalau dihitung jumlah penyelewengan, kerugian dan bebanan yang tidak ditanggung kerajaan kini - jumlahnya jauh lebih besar.

Isu kononnya berlaku pertembungan antara pegawai dengan pemimpin politik, yang cuba dipanaskan oleh pihak pembangkang di Sidang Dun juga tidak sampai ke mana kerana akhirnya ia selesai begitu sahaja.

Isu kononnya berlaku kelemahan pentadbiran di Kolej Universiti Insaniah (KUIN) juga nampaknya tidak bertahan lama. Ia selesai dalam sekelip mata apabila Yang di-Pertuan Agong berangkat merasmikan kampus induk KUIN di Kuala Ketil bernilai RM330 juta untuk fasa pertama.

Maka menempelak KUIN sama seperti menempelak Agong yang juga merupakan Sultan Negeri ini.

Maka selemah-lemah isu pembalakan pun, itulah pula isu yang paling besar bagi BN di Kedah. Itulah yang mereka canangkan kepada rakyat siang dan malam dalam propaganda yang penuh putarbelit.

Selepas dua himpunan BN di tapak balak Tasik Pedu, kini giliran penyokong kerajaan negeri pula akan berhimpun di Tasik Pedu mempertahankan tindakan kerajaan negeri sambil membongkar salahlaku BN.
Menteri Besar sendiri akan turun dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat Kedah ini.

Selepas ini, besar kemungkinan isu balak pun akan terpadam macam isu-isu lain yang dimainkan oleh pembangkang di Kedah.

Tiada ulasan: