Ahad, 10 Februari 2013

Bagi MCA, kenal Psy baru boleh jadi pemimpin

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: Rakan baik Umno, MCA hari ini menempelak Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat, tapi kali ini bukan kerana perbezaan politik tetapi kerana 'jenayah' beliau yang tidak mengenali siapa Psy (gambar), penyanyi popular dari Korea.

Senator MCA Chew Lee Giok berkata dengan tidak mengenali siapa Psy, Nik Aziz – yang diangkat sebagai 500 tokoh Islam paling berpengaruh di dunia oleh badan berprestij Timur Tengah - Royal Islamic Strategic Studies Center – dikatakan “sangat kurang pengetahuan mengenai perkara semasa, standard dunia dan trend antarabangsa.”

“Presiden Amerika Syarikat Barack Obama telah menari ‘Oppa Gangnam Style’ yang telah menjadi tarian popular dunia secara mengejut,” kata setiausaha agong Wanita MCA, yang jelas teruja dengan undangan BN kepada penyanyi popular dari Korea Selatan untuk membuat persembahan di Pulau Pinang.

“Bukan sahaja Nik Aziz tidak tahu siapa Psy, beliau juga keliru dengan jantina Psy samada lelaki atau wanita. Beliau juga bertanya mengapa kita mendengar sebuah lagu di dalam bahasa yang kita tidak faham.

"Macammana beliau boleh menjadi pemimpin negara?” tegas Chee dalam satu kenyataan yang dilaporkan di laman parti beliau.

Chee sedang memberikan reaksi kepada satu laporan berita mengenai respon Nik Aziz ketika diberitahu mengenai konsert Psy di Pulau Pinang, yang rata-rata dilihat sebagai usaha terakhir MCA untuk mendapatkan kembali sokongan kepada BN daripada kalangan pemuda Cina di negeri tersebut.

Nik Aziz telah memberikan reaksi bahawa Psy harus menutup aurat – bahagian tubuh badan yang perlu ditutupi berdasarkan ajaran Islam.

Di dalam Islam, terdapat aurat lelaki dan perempuan, tapi senator MCA itu mungkin beliau tidak sedar bahawa lelaki juga ada auratnya, sejajar dengan kenyataan-kenyataan partinya sebelum ini yang menunjukkan kejahilan mereka terhadap agama persekutuan negara ini.

“Nik Aziz hanya mengharapkan wanita perlu ‘ditutup’, menunjukkan bahawa minda beliau adalah ke arah kemunduran, dan beliau ‘out of touch’ dengan dunia ini. Bagaimana beliau boleh menerajui negara ke arah membangun,” tambah Chee lagi dalam menempelak Menteri Besar Kelantan itu.

Kemudian, Chee cuba mengheret isu itu sebagai ‘hak bukan Islam yang termaktub di dalam perlembagaan.’

“Jika Pakatan Rakyat berkuasa di peringkat persekutuan, pemikiran feudal sedemikian, yang tidak membawa kebaikan kepada kepelbagaian kaum dan budaya negara kita akan dilaksanakan kepada bukan Islam. Dalam melakukan ini, hak bukan Islam yang dilindungi Perlembagaaan Persekutuan akan terancam,” tambah beliau.

Tak tahu Psy, apa masalahnya?

Sementara itu, ramai pembaca Malaysiakini yang memberikan respon kepada kenyataan Nik Aziz berkata tiada apa-apa yang perlu dimalukan jika tidak mengenali Psy.

“Jika Nik Aziz tidak tahu siapa Psy, saya tabik pada beliau… Beliau tidak dicemarkan oleh apa yang digilakan dunia ini,” kata seorang komentar.

“Tiada apa yang perlu dimalukan jika seseorang itu tidak mengikuti perkembangan sensasi di Korea, menyanyi Gangnam Style, menaiki kuda secara imaginasi. Tanyalah Perdana Menteri Umno mengenai bakat terlindung beliau!” kata seorang lagi.

“Apabila datang ke dunia musik, Nik Aziz ketinggalan. Tapi apabila datang kepada harta persendirian, Nik Aziz tidak mempunyai apa-apa. Seorang yang jujur dan ikhlas dan fokus kepada rakyat dan negeri dan beliau mahu memastikan syaitan yang dikenali dikeluarkan,” kata seorang yang menggunakan nama ‘Mushiro’.

Seorang lagi pula dalam komentarnya berkata kegilaan pada Psy dan tariannya hanya sementara.

“Tahukah anda wahai Nik Aziz, sensasi global ini dilihat sebagai separa-Tuhan. Semua mesti kata mereka mencintai beliau atau pernah melihat beliau. Jika tidak, mereka akan dilabel sebagai Ah Beng dan Ah Lian. Tapi semua orang ini tidak sedar bahawa mereka sedang dihipnotasikan. Saya rasa tidak mengapa, biarkan. Mereka ini akan membesar seperti kita yang membesar melihat Beatles, the Bee Gees, the Moonwalk, Justin Bieber dan sekarang Gangnam style.”

Tiada ulasan: