Jumaat, 8 Februari 2013

Arab Spring: Hanya manifestasi Dr Mahathir

ROBIATULADAWIYAH ABD RASHAD

Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh
Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh
 
SHAH ALAM - Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) menyifatkan dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Arab Spring akan berlaku di negara ini sebagai manifestasi beliau sahaja.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, keadaan itu berlaku kerana Dr Mahathir takut pada perubahan yang akan berlaku selepas PRU13.

“Kenyataan itu menunjukkan mimpi ngeri beliau dan rasa takut yang Barisan Nasional (BN) tidak mampu berkuasa lagi.

“Beliau sengaja menggunakan pengaruhnya untuk menakutkan rakyat bahawa akan berlaku huru-hara,” katanya.

Katanya, kewujudan NGO Bersih bukan daripada pemimpin PR tetapi kesedaran masyarakat yang ingin pilihan raya yang bersih dan adil.

Dr Mahathir dalam kenyataannya di blognya mendakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan laksanakan Arab Spring jika gagal dalam PRU13.
Beliau turut dakwa Anwar sengaja menggunakan Bersih bagi merealisasikan impiannya.

Menurut Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh, Dr Mahathir tidak sepatutnya berkata begitu kerana bukan jurucakap PR.

“Beliau bukan jurubicara PR dan bukan jurubicara untuk Anwar. Dr Mahathir sebagai bekas Perdana Menteri seharusnya lebih faham konsep demokrasi.

“Ini lah masalahnya bila dah lama sangat memerintah. Arab Spring tidak akan berlaku di Malaysia,” tegas beliau.

Sementara itu, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berkata, kenyataan yang dibuat Dr Mahathir sebagai tuduhan liar kepada Anwar.

“Kita sudah kata, PR tidak akan lakukan perubahan dengan cara yang ganas. Perubahan itu datang dari peti undi," katanya.

Bagaimanapun, Tony berkata, kenyataan itu juga menunjukkan Dr Mahathir sendiri sudah hilang keyakinan terhadap BN dan percaya PR akan menang pada PRU13.

Tiada ulasan: