Sabtu, 16 Februari 2013

Anwar : Tan Sri Khalid Pencetus Idea Projek PPR


mb iskandar rumah mampu milik antara gapi pkns 01

BANDAR TUN RAZAK: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim merupakan individu yang bertanggungjawab mencetus idea mewujudkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) seperti yang ada sekarang, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar, idea itu disampaikan Abdul Khalid yang ketika itu memegang jawatan Pengerusi Pegawai Eksekutif (CEO) Permodalan Nasional Bhd (PNB) kepada beliau sebagai Menteri Kewangan ketika itu.

Selepas itu Kementerian Kewangan ketika itu meluluskan dana sebanyak RM2.4 bilion untuk projek PPR termasuk projek terawal di Baling Kedah.

“Abdul Khalid jumpa saya beri cadangan bantu orang miskin memilik rumah, tetapi jangan tubuhkan badan baru sebab kalau tubuh badan pengurusan baru akan tambahkan bermacam perbelanjaan yang makan hampir separuh dan yang tinggal untuk dibelanjakan untuk rakyat tinggal sedikit,” ujar Anwar dalam Majlis Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Wilayah Persekutuan di sini.

Anwar juga memberitahu sekiranya menang nanti semua dasar Pakatan Rakyat (PR) boleh dilaksanakan dan tidak akan menyebabkan hutang negara bertambah sepertimana yang berlaku dibawah Umno-BN sekarang.

Sebaliknya PR akan memastikan setiap perbelanjaan akan dilakukan secara  cermat dengan memastikan tiada ketirisan dan rasuah berlaku yang merugikan rakyat seperti hari ini.

Anwar menambah pengurusan kewangan yang cekap akan menjadikan ekonomi negara bertambah baik dan sekaligus mampu menarik pelabur asing.

“Kita tak boleh buat sampai negara rugi, kita tak boleh buat sampai negara berhutang.

“Apa (Datuk Seri) Najib kata? (Rezab Selangor) lebih RM2.5 bilion itu dia kata bodoh, tak tahu ekonomi, tetapi hutang (Kerajaan Persekutuan) RM540 bilion itu pandai,” sindir Anwar yang membandingkan kecekapan Kerajaan PR Selangor dengan Kerajaan Pusat dalam isu pengurusan dana kerajaan masing-masing.

Antara dasar yang disebutkan Anwar ketika berucap di hadapan kira-kira hampir 5,000 di Taman Bukit Anggerik, Cheras tengahari tadi termasuklah menurunkan harga petrol dalam tempoh 24 jam selepas pilihan raya, pendidikan percuma dan membatalkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Selain itu beliau turut mengulangi hasrat PR untuk menurunkan harga kereta dengan menurunkan 20 peratus cukai eksais dan memastikan pemandu teksi memperolehi permit teksi mereka sendiri.

Tiada ulasan: