Isnin, 11 Februari 2013

2 suspek kes rompak maut, motosikal terbabas

SYAMILAH ZULKIFLI

2 suspek kes rompak maut, motosikal terbabas
Dua perompak maut selepas dua motosikal ditunggangi mereka terbabas ketika cuba melarikan diri dari sepasukan anggota polis, semalam.
 
SEREMBAN – Usaha dua penjenayah melarikan diri dari dikejar polis gagal apabila kedua- duanya maut setelah motosikal berkuasa tinggi dinaiki mereka terbabas selepas Plaza Tol Lebuh Raya Port Dickson - Seremban, dekat Mambau, semalam.

Dalam kejadian 12.30 tengah hari itu, penjenayah berusia 21 dan 27 tahun baru selesai menyamun kedai kek di Batu 6 Telok Kemang dan Lukut, Port Dickson sebelum larikan diri ke arah Seremban.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Abd Wahab Harun berkata, sebaik saja kejadian samun itu, polis menerima maklumat orang awam menyebabkan polis bertindak mengesan kedua-dua suspek terbabit.

“Polis mendapat maklumat kejadian itu dilakukan dua lelaki yang menunggang motosikal berkuasa tinggi warna hitam, menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Jadi, kita telah buat hebahan kepada semua petugas untuk bertindak dan mengesan kedua suspek yang dipercayai berada tidak jauh daripada lokasi kejadian” katanya.

Menurutnya, jam12.45 tengah hari, suspek berjaya dikesan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) lebuh raya berkenaan sebelum kereta peronda polis, anggota cegah jenayah serta anggota trafik menghampiri suspek.

“Bagaimanapun, kedua suspek terus memecut laju motosikal mereka untuk melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota polis.

“Polis terus mengejar suspek selama beberapa minit sebelum motosikal ditunggangi suspek terbabas lalu melanggar pembahagi jalan di susur ke Mambau,” katanya.

Abd Wahab berkata, salah seorang suspek maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi tercampak dalam longkang, bagaimanapun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ).

“Hasil pemeriksaan kita menjumpai dua bilah parang panjang pada beg sandang salah seorang suspek.
“Selain itu, kita turut menjumpai barang kes yang dilaporkan hilang iaitu sebuah telefon bimbit berjenama iphone 4 dan Samsung SII,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: