Jumaat, 18 Januari 2013

Jangan polemikkan keterangan awal

KL TODAY

 

KUALA LUMPUR – Semua pihak perlu meneliti keseluruhan siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap masalah pendatang tanpa izin di Sabah sebelum membuat sebarang kesimpulan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata semua pihak tidak boleh membuat kesimpulan awal dengan hanya mendengar keterangan saksi yang telah memberi kenyataan dalam RCI.


Beliau berkata sehingga kini terdapat 160 orang lagi saksi yang belum memberi keterangan dan kredibiliti setiap saksi juga perlu dinilai.

“Justeru, penilaian perlu dibuat secara menyeluruh. Jangan polemikkan sesuatu tanpa mendapat pengesahan terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian ekstradisi antara Malaysia dan Korea Selatan, di sini hari ini.

Perjanjian itu ditandatangani Hishammuddin dan Menteri Kehakiman Korea Selatan Kwon Jae Jin.


Isnin lalu, RCI memulakan pendengaran awam di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, Sabah yang dianggotai lima ahli panel dan diketuai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong.

Terma penyiasatan RCI antara lain ialah jumlah pendatang di Sabah yang telah mendapat kad pengenalan biru atau kewarganegaraan, sama ada pengeluaran kad pengenalan atau kewarganegaraan di Sabah adalah selaras mengikut undang-undang, sama ada pendatang yang memiliki kad pengenalan biru atau resit pengenalan  sementara (biru) kewarganegaraan secara tidak mengikut undang-undang didaftarkan sebagai pengundi, dan sebab-sebab peningkatan jumlah penduduk Sabah.

Tiada ulasan: