Khamis, 17 Januari 2013

Isu tanah Kelantan: Pisau.net akui fakta silap


Isu tanah Kelantan: Pisau.net akui fakta silap
Koo Ham (dua, kiri) bersama Kor Ming (kiri) pada sidang media, semalam.
 
Isu tanah Kelantan: Pisau.net akui fakta silap
Isu tanah Kelantan: Pisau.net akui fakta silap
 
IPOH – Selepas hampir sebulan kemelut isu pemilikan tanah seluas 4,200 hektar di Gua Musang, Kelantan menjadi topik hangat, sebuah blog, pisau.net yang memaparkan artikel berhubung isu berkenaan mengeluarkan kenyataan ralat.

Kenyataan ralat yang dikeluarkan 13 Januari itu menyebut bahawa tiada berlaku penukaran tanah bagi menebus jawatan Menteri Besar Perak antara dua pemimpin DAP iaitu, Datuk Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming bersama Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Artikel bertajuk ‘Pembetulan fakta tanah Ngeh dan Nga di Kelantan’ itu menyebut bahawa berlaku percanggahan fakta tidak tepat yang diperoleh daripada sumber sebelum ini dan menyifatkan bertanggungjawab untuk memperbetulkan keadaan demi kebenaran.

Mengulas perkara itu, Koo Ham yang juga Pengerusi DAP berkata, penafian yang dikeluarkan blogger itu jelas menunjukkan isu yang digembar-gemburkan selama ini tidak benar dan berunsur fitnah.

Menurutnya, ia juga jelas membuktikan bahawa Barisan Nasional (BN) Perak seakan kehabisan modal dengan menjadikan isu sedemikian sebagai mainan politik.

“Terbukti, tuduhan mereka sebelum ini tidak berasas. Saya akui, pendedahan yang dinyatakan blog ini sedikit sebanyak telah membersihkan nama kami, namun ia masih belum cukup,” katanya pada sidang media, semalam.

Koo Ham yang juga Ahli Parlimen Beruas berkata, penyiaran artikel ‘ralat’ itu tidak memadai, sebaliknya beliau menuntut agar pengendali pisau.net tampil dan membuat permohonan maaf secara terbuka.

Katanya, pendedahan yang dilakukan bukan perkara kecil kerana memberi impak terhadap imej dan reputasi pemimpin Pakatan Rakyat (PR) terutama Nik Aziz.

“Selain menyiarkan artikel penuh di blog, kita juga mahu pisau.net membuat kenyataan awam berhubung penafian ini di lima akhbar arus perdana dalam tempoh tujuh hari sebaik surat rasmi diterima daripada kami,” katanya sambil memaklumkan writ saman akan tetap diteruskan terhadap blog berkenaan.

Pisau.net menyatakan pendedahan yang dilakukan mengenai skandal berkenaan bukan isu baru apabila blog pro pakatan MediaPerak.net pernah mendedahkan konflik sama pada Jun 2012.

Tinjauan semalam mendapati, laman blog berkenaan tidak lagi boleh diakses.

Isu pemilikan tanah berkenaan tercetus dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Perak ke-12, Disember lalu apabila Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menggesa Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memberi penjelasan berhubung isu itu.

Pembelian tanah berkenaan didakwa sebagai ganjaran kepada DAP atas perjanjian membenarkan Mohammad Nizar yang juga Adun Pasir Panjang menjadi menteri besar.

Tiada ulasan: