KUALA
LUMPUR— Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul
Aziz Mohd Yusof enggan memberikan maklum balas mengenai pendedahan
dalam RCI semalam bahawa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membenarkan
pendatang haram mengundi di Sabah pada pilihan raya 1994 dan menegaskan
isu berkaitan kad pengenalan (IC) bukan dibawah bidang kuasa agensinya.
Dalam Suruhanjaya Di Raja (RCI) semalam, bekas pegawai JPN
menuduh arwah Tan Sri Megat Junid Megat Ayub memberi arahan kepadanya
untuk mengeluarkan resit membenarkan pendatang haram di Sabah mengundi
dalam pilihan raya negeri pada tahun 1994.
“Tidak adil untuk saya berikan komen mengenai pendedahan dalam RCI hari ini.
“Kes ini berlaku pada 1994 dan sudah 20 tahun lebih ia
berlaku. Betul atau tidak yang dikatakan belum tentu dapat disahkan,
malahan yang dituduh pun sudah tiada lagi,” kata Abdul Aziz merujuk
kepada arwah Megat Junid apabila dihubungi oleh The Malaysian Insider semalam.
Menurut Abdul Aziz, segala isu melibatkan IC adalah
dibawah bidang kuasa JPN dan Kementerian Dalam Negeri manakala SPR hanya
bertanggungjawab dalam mendaftarkan pengundi.
“Saya ingin tegaskan disini bahawa SPR hanya akan
mendaftarkan pengundi yang membawa kad pengenalan yang sah. Selain
daripada berwarna biru, SPR tidak akan mendaftarkan mereka.
“Selain daripada itu, ingin saya tegaskan bahawa semua
proses pendaftaran pengundi akan kemudiaan disemak dengan JPN dan KDN,”
tambah beliau.
Apabila ditanya pendapatnya mengenai pendedahan dalam RCI,
Abdul Aziz menegaskan ia adalah sesuatu perkara yang melanggar
undang-undang dan pihak yang bertanggungjawab perlu memberikan
penjelasan.
“Kalau benarlah itu yang berlaku pada 1994 itu, saya sama sekali tidak bersetuju dengan tindakan sebegitu.
“SPR sekarang tidak akan mendaftarkan mana-mana pengundi
warga asing,” tegas beliau lagi yang memberi jaminan perkara demikian
tidak akan berulang dibawah pimpinannya.
Dalam RCI seamalam, bekas pengarah JPN Sabah Ramli
Kamarudin memberitahu Megat Junid yang pada ketika itu timbalan menteri
dalam negeri memberitahu dirinya resit JPN perlu sama dengan nama dan
kad pengenalan pengundi berdaftar.
Ramli berkata lebih kurang 200 resit JPN dikeluarkan di
lima atau enam kerusi dewan undangan negeri di Sabah yang dianggap
sebagai “kawasan hitam yang sukar bagi kerajaan untuk menang.”
“Satu kawasan mungkin 400,” katanya.
Tun Dr Mahathir Mohamad, perdana menteri paling lama
berkhidmat dari 1981-2003, telah dituduh menerajui “Projek IC”, di mana
kewarganegaraan didakwa diberikan kepada pendatang sebagai ganti kepada
undi mereka.
Akan tetapi bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Harris
Salleh, yang mentadbir negeri dari 1976 ke 1985, menafikan kewujudan
“Projek IC” semalam.
Pilihan raya negeri Sabah 1994 menyaksikan Parti Bersatu Sabah (PBS) menang 25 daripada 48 kerusi dewan undangan negeri.
Akan tetapi tidak lama selepas itu beberapa ahli dewan
undangan negeri PBS menyertai Barisan Nasional (BN) menyebabkan kerajaan
PBS jatuh.
Ramli memberitahu beliau ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dari 1995 hingga 1997.
Beliau juga menafikan menerima imbuhan.
“Ini adalah arahan langsung dari timbalan menteri dalam negeri sendiri walaupun saya akui ianya salah,” kata Ramli.
Beliau menambah arahan tersebut diberikan dalam mesyuarat
dengan Megat Junid, pemimpin Umno Datuk Seri Osu Sukam (yang kemudiannya
menjadi ketua menteri Sabah pada tahun 1999) dan pegawai pendaftar JPN
bernama Asli Sidup di Hyatt Hotel dua minggu sebelum pilihan raya 1994.
“Resit tersebut hanya untuk mengundi. Selepas itu, kami akan kutip resit dan musnahkannya,” kata Ramli.
Asli memberitahu kemudian 200 resit JPN digunakan di dewan
undangan negeri Kawang pada pilihan raya negeri 1994 dimana Osu menang
dengan 64 undi.
1 ulasan:
pengerusi spr kata tak payah komen isu ic tu sbb dah 20 tahun tapi kenapa isu amanat hadi yg dah lebih 30 tahun diungkit2 lagi.ada double standard ni.
Catat Ulasan