Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan agar ditubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pemberian taraf kerakyatan kepada sejuta pendatang asing di Persekutuan Tanah Melayu sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan.
  
"Saya hanya mencadangkan sahaja, dan tidak serius tentang itu
(melaksanakannya)...tetapi jika mahu menjalankan siasatan mestilah secara menyeluruh, ia tidak adil sekiranya hanya fokus kepada satu perkara sahaja dan tidak perkara lain.
  
"Terdapat perkara yang sama, saya hanya mahu menunjukkan perbandingan, saya bukan serius mengenainya tetapi saya memang menekankan apabila melakukan sesuatu perkara ia mesti adil," katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas merasmikan dan menyampaikan ucaptama pada konvensyen 'Transformasi Ekonomi dan Pelajaran  Melayu Pulau Pinang 2013' anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Pulau Pinang di Dewan Utama, Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Permatang Pauh di Bukit Mertajam hari ini.
  
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kritikan terhadap  tindakannya memberikan taraf kerakyatan kepada 200,000 pendatang asing di Sabah ketika beliau menjadi perdana menteri.
  
Katanya 200,000 pendatang asing itu telah berada di Sabah untuk satu tempoh yang lama iaitu lebih 20 tahun dan menggunakan bahasa Melayu dalam komunikasi serta mengamalkan budaya setempat.
  
"Dari segi perundangan mereka memang layak untuk mendapat taraf kerakyatan," katanya.
  
Selain itu, katanya, pemberian taraf kerakyatan kepada sejuta pendatang asing di Persekutuan Tanah Melayu sebelum merdeka dilakukan Perdana Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj walaupun ia tidak termaktub dalam undang-undang ketika itu.
  
"Hal ini berlaku disebabkan orang Melayu pemurah dan bersedia untuk mengurangkan kuasa mereka, ini sangat berbeza dengan apa yang berlaku di Sabah kerana mereka memang berhak untuk mendapat taraf kerakyatan," katanya.
  
Konvensyen sehari anjuran PERKASA Pulau Pinang itu bertujuan membangkitkan motivasi dan kesedaran di kalangan orang Melayu Pulau Pinang, khusus mengenai ekonomi dan pendidikan.
  
Antara objektif utama konvensyen sehari ini ialah menjadi salah satu platform utama percambahan minda membincangkan isu serta peluang ekonomi dan pelajaran orang Melayu Pulau Pinang dan menghasilkan resolusi dan pelan tindakan strategik hala tuju transformasi ekonomi dan pelajaran secara dinamik dan holistik yang sentiasa relevan dan kemaskini ke arah pembangunan dan kemajuan ekonomi serta pelajaran orang Melayu.
  
Tiga kertas kerja dibentangkan pada konvensyen itu.
  
Yang turut hadir ialah isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dan Yang Dipertua Perkasa Negeri Pulau Pinang Yusof Suhaimi Mohd Yatim.- Bernama