Ahad, 20 Januari 2013

DBKL mahu penghibur jalanan mohon permit



 
Penghibur Jalanan dinasihati supaya memohon permit kebenaran sekiranya ingin membuat persembahan di sekitar Kuala Lumpur.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosio Ekonomi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Mohd Amin Nordin Ab Aziz berkata permohonan permit itu telah pun dibuka dan mereka boleh berbuat demikian melalui bahagian Kebudayaan dan Sukan DBKL.

Beliau berkata beberapa perbincangan telah dijalankan bersama Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan bagi mengenalpasti garis panduan yang perlu dipatuhi oleh golongan penghibur itu.

"Kita tidak mahu orang yang tak tentu arah yang buat pertunjukan dan warga asing sama sekali tidak dibenarkan.

"Dan kita nasihatkan supaya penghibur jalanan ini mestilah berumur 18 tahun ke atas," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Menteri Penerangan Komunikasi dan kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim pada Jumaat berkata satu lokasi di Bangunan Sultan Abdul Samad akan disediakan bagi membolehkan penghibur jalanan menjalani latihan kesenian mereka.

Mohd Amin berkata beberapa lokasi tumpuan pelancong telah dikenalpasti untuk penghibur jalanan membuat persembahan, antaranya Jalan Bukit Bintang, Dataran Merdeka, dan Pasar Seni.

Beliau juga mengingatkan penghibur jalanan supaya tidak melakukan persembahan membahayakan seperti pertunjukan ular.

Dalam pada itu, Mohd Amin turut mempelawa wakil penghibur jalanan hadir berbincang dengan pegawai DBKL bagi mengenalpasti keperluan dan perkara-perkara lain berkaitan golongan itu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Datuk Norliza Rofli berkata jabatannya akan berbincang dengan Kerajaan Tempatan di seluruh negara supaya memberi kebenaran kepada penghibur jalanan di setiap negeri untuk membuat persembahan.

Beliau berkata JKKN juga sedia memberi nasihat dari aspek persembahan dan kemahiran kepada golongan penghibur itu supaya mereka boleh memberi persembahan bertaraf antarabangsa.

- Bernama

Tiada ulasan: