Ahad, 20 Januari 2013

MPN mahu Universiti Islam Malaysia diwujud segera

RUZY ADILA IDRIS

PUTRAJAYA – Majlis Profesor Negara (MPN) mahu kerajaan mewujudkan segera Universiti Islam Malaysia (UIM) supaya apa yang dihasratkan oleh Raja-raja Melayu termakbul dengan segera dan sebaik mungkin.

Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosio Budaya, Profesor Kamaruddin M.Said berkata, kewujudan UIM nanti akan menyepadukan tiga perkara besar dalam kehidupan iaitu Islam, ilmu dan ummah untuk kepentingan generasi akan datang.

“Majlis Universiti Islam Malaysia (Muim) yang akan dinamakan sebagai UIM berdasarkan keputusan Persidangan Majlis Raja-raja Melayu ke-222 pada 13 dan 14 Oktober 2010 diharap dapat melahirkan sebuah institusi pengajian tinggi baru.

“Penubuhan universiti diharap dapat membantu proses pembacaan dan pemikiran yang betul, berada di atas landasan yang teguh, terutamanya tentang kedudukan Islam dan Raja-raja Melayu dalam dunia keilmuan Malaysia, malah dalam konteks keilmuan antarabangsa,” katanya.

Beliau bercakap demikian dalam ucapan penggulungan Seminar Pertemuan Profesor-professor Mengenai Isu-isu Menjelang 2020, di sini, hari ini.
Seminar dua hari ini turut membentangkan lima kertas kerja.

Pada Mac lalu, Pengerusi Muim, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor berkata, UIM yang bakal ditubuhkan bukan duplikasi kepada universiti Islam lain di negara ini, sebaliknya adalah penyambungan kepada sebuah institusi pengajian yang telah pun tertubuh sebelum ini.

UIM dahulunya merupakan Kolej Islam Malaya (KIM), yang ditubuhkan pada tahun 1955, diperkenankan oleh Raja-Raja Melayu ketika itu.

“Ia (operasi) bagaimanapun tertangguh pada 1970. (Namun) Majlis Raja-Raja Melayu yang bersidang kali ke-222 pada 2010 telah berkenan mengaktifkan KIM sebagai Universiti Islam Malaysia.

“Kekeliruan itu menjadi keprihatinan kita. Ia (UIM) bukan sebuah universiti baru tetapi sebaliknya memperbaharui institusi yang telah pun ditubuhkan sebelum ini,” kata Yusof.

Kamaruddin turut mengingatkan bahawa kejayaan yang dicapai negara pada hari ini adalah hasil rancangan dan dilaksanakan oleh pihak legislatif serta eksekutif iaitu hasil diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong yang mewakili Raja-raja Melayu.

"Kesemua tatacara terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan yang luhur. Sejak merdeka pada 1957 hingga kini, badan eksekutif iaitu Kerajaan Malaysia yang diterajui oleh golongan nasionalis Melayu, mendukung kedaulatan Raja-raja Melayu.

"Hal ini boleh dipertahankan selagi dadan eksekutif yang dipilih oleh rakyat menerusi pilihan raya menjunjung keluhuran institusi Raja-raja Melayu," jelas beliau.

Kamaruddin turut memetik kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah semasa persidangan Majlis Raja-raja Melayu ke-222 yang membawa pandangan berat Raja-raja Melayu tentang iklim politik negara ketika itu.

"Beliau menyentuh terhadap suara lantang dan tidak rasional yang mencabar keluhuran perlembagaan persekutuan, serangan ke atas kesucian dan kedudukan Islam di Malaysia serta serangan institusi raja-raja.

"Lanjutan itu, Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah kemudiannya menyampaikan titah tentang kedudukan Islam dan Raja-raja Melayu dan ucapan itu beri inspirasi terhadap apa yang patut dilakukan oleh golongan ilmuwan Melayu," jelas beliau.

Katanya, teks titah ucapan Raja Nazrin wajar dibaca oleh profesor-profesor untuk kefahaman lanjut.

Dalam pada itu, Kamaruddin turut menyarankan golongan profesor di negara ini meluaskan pembacaan termasuk memahirkan diri dalam membaca kehidupan secara holistik dan bukan hanya secara harfiah atau runcitan.

Katanya, Malaysia mungkin mempunyai ramai ilmuan yang salah baca, salah tafsir dan salah fikir.

"Jika ramai kategori ini dalam MPN, tentulah peranannya sebagai pemikir negara sukar dicapai.

"Kita tidak mahu MPN yang salah baca dan salah fikir. Itu merbahaya kepada negara," katanya lagi.

Tiada ulasan: