Jumaat, 18 Januari 2013

Ali Rustam mahu tanding kerusi parlimen

SITI SHAHROSAMIRAH & NORDIANA JOHARI

Mohd Ali: Ambil tindakan berani dah tegas terhadap Paderi Gay
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam 
 
MELAKA - Datuk Seri Mohd Ali Rustam hari ini mengesahkan sedia bertanding di kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), sekali gus menamatkan spekulasi beliau berhasrat melepaskan jawatan Ketua Menteri Melaka.

Kata beliau, hasratnya sudah diketahui banyak pihak termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak namun masih belum diputuskan pemimpin tertinggi parti.

"Keputusan yang saya ambil untuk bertanding di Parlimen terletak di tangan Perdana Menteri untuk memutuskannya.

"Namun sehingga kini keputusan saya untuk bertanding di kerusi Parlimen masih belum diputuskan oleh Najib," katanya selepas menyampaikan bantuan persekolahan RM100 di Sekolah Kebangsaan Dato' Palembang, di sini, semalam.

Tanpa memberitahu kerusi Parlimen mana yang akan ditandinginya, Mohd Ali berkata, pembahagian kerusi di negeri ini sudah diselesai dan dipersetujui semua parti.

"Kita ikut cadangan yang telah dikemukakan awal kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan tidak ada perubahan baru di saat-saat akhir," katanya.

Beliau yang diminta mengulas khabar angin berhubung hasratnya melepaskan jawatan ketua menteri untuk kembali berkhidmat di peringkat pusat, bagaimanapun enggan mengulas mengenai kerusi parlimen yang akan ditandingi.

Mohd Ali dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka yang kesembilan menggantikan Datuk Seri Abu Zahar Isnin pada 2 Disember 1999. Beliau sebelum itu pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Pengangkutan dan Timbalan Menteri Kesihatan.

Sementara itu laporan Bernama memetik Mohd Ali berkata pembahagian kerusi bagi PRU13 di Melaka telah selesai dan dipersetujui semua parti komponen Barisan Nasional (BN).

"Tidak ada perubahan baru buat sementara ini dan kita akan ikut cadangan awal yang telah dikemukakan kepada Pengerusi BN sebelum  ini," katanya.

Katanya, berdasarkan perancangan sekarang, hanya kerusi Dewan Undangan Negeri Kota Laksamana yang sebelum ini ditandingi MCA, akan diserah kepada Parti Progresif Penduduk (PPP) untuk ditandingi Pengerusi PPP negeri Datuk Chiw Tiang Chai.

Tiada ulasan: