Menurut Zahrain, banyak pertimbangan perlu dibuat dan enggan tergesa-gesa dalam membuat keputusan tersebut.
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata beliau masih membuat pertimbangan sama ada mengekalkan kerusi di kawasan itu, atau sebaliknya dalam pilihan raya umum akan datang.
Menurut Zahrain, banyak pertimbangan perlu dibuat dan enggan tergesa-gesa dalam membuat keputusan tersebut.
Jelasnya keputusan itu akan dipengaruhi oleh penerimaan pengundi ke atas wakil rakyat-bebas yang tidak cenderung kepada mana-mana parti politik.
“Saya tak akan tergesa-gesa. Banyak orang tanya dan saya tak terfikir untuk membuat keputusan. Setakat ni saya buat kerja, pergi periksa rekod kerja saya ke atas pengundi Bayan Baru. Saya jalankan tanggungjawab bukan terhadap parti mana-mana tapi untuk pengundi kawasan.
“Banyak perkiraan saya perlu ambil. Tengok masyarakat boleh terima orang bebas dalam parlimen. Saya tahu sebagai ahli parlimen Bebas bukan senang hendak menang, tetapi itu semua bergantung kepada penerimaan rakyat,” katanya.
Zahrain menjadi ahli Parlimen Bayan Baru pada pilihan raya umum 2008 selepas menewaskan calon BN Ooi Siew Kim dengan majoriti 11,029 undi.
Keluar parti
Beliau yang ketika itu bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) kemudian mengisytiharkan keluar parti dan menjadi ahli parlimen bebas tahun lalu.
Menyentuh laporan media semalam berhubung pendedahan kakak sulung ahli parlimen Gombak Azmin Ali, Norlia yang kecewa terhadap karier politik adiknya, Zahrain pula menasihatkan agar orang nombor dua PKR itu mendedahkan salah laku idolanya (Datuk Seri Anwar Ibrahim).
Beliau berkata sebagai umat Islam Azmin perlu sedar dan menolak pemimpin yang melakukan kemungkaran sambil merujuk kepada Ketua Pembangkang.
“Saya lihat Azmin mempertaruhkan masa depan karier politiknya pada Anwar. Dia tetap mempertahankan Anwar tidak kira tindakan yang dilakukan itu betul atau salah.
“Saya pernah berjumpa dengan (kakak sulung Azmin) dan Ummi Hafilda serta pelbagai perkara telah diceritakan. Ummi beritahu bukan sahaja kakak sulung (Norlia), ibu mereka turut kesal dengan tindakan Azmin mempertahankan Anwar tanpa was-was,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan