Sabtu, 3 September 2011

Umno: Komponen BN perlu reda serah kerusi demi kekal kuasa


KUALA LUMPUR - Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu reda menyerahkan kerusi — yang mereka kalah tiga tahun lalu — untuk ditandingi oleh mana-mana parti bagi memastikan perikatan itu kekal berkuasa dalam pilihan raya umum ke-13.

Beberapa pemimpin Umno juga pernah memberi pandangan sedemikian sebelum ini. Spekulasi menyebut pilihan raya umum ke-13 dijangka dipanggil dalam beberapa bulan ini.

Justeru, kata Shafie, kesemua parti dalam BN harus melihat aspek itu dari kerangka realistik bagi mengelakkan situasi tiga tahun lalu.

“Apa juga kita lakukan perlu ada fleksibiliti bagi membolehkan BN menang di kawasan itu sama ada melalui pendekatan pertukaran kerusi atau sebagainya.

“Setiap parti komponen perlu meredakan sesuatu kerusi itu ditandingi oleh mana-mana pihak yang boleh memenangi pilihan raya,” kata anggota Kabinet kerajaan pusat ini dalam temu bual dengan Utusan Malaysia hari ini.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, Umno menang di 79 kerusi Parlimen, manakala Gerakan (dua), LDP (satu), MCA (15), MIC (tiga), PBB (14), PBRS (satu), PBS (tiga), PRS (enam), SAPP (tiga), SUPP (enam) dan UPKO (tiga).

Di peringkat Dewan Undangan Negeri, Umno menguasai 239 kerusi, Gerakan (tiga), LDP (dua), MCA (32), MIC (tujuh), PBRS (satu), PBS (12), SAPP (lima) dan UPKO (enam).

Bagaimanapun SAPP, parti komponen dari Sabah, telah keluar BN pada penghujung 2008.

Pada pilihan raya umum tiga tahun lalu Gerakan, MCA dan MIC mengalami kekalahan teruk.

Parti-parti itu pernah dicadangkan agar menyerahkan kerusi mereka yang kalah kepada Umno untuki ditandingi pada pilihan raya umum ke-13.

Shafie, pemimpin dari Sabah berkata, “kita tidak boleh menegakkan benang yang basah dengan mendakwa ini kawasan tradisi parti kami sedangkan rakyat mahu calon yang baru. Semua pihak dalam komponen BN kena terbuka dan kita mesti meletakkan calon yang boleh menang.”

Sehubungan itu kata beliau, kalau parti komponen berterusan “cuba menegak benang yang basah, tidak akan menang kita dalam pertarungan selepas ini.”

Pun begitu kata beliau, usaha ini perlu berteraskan semangat perkongsian kuasa.

“Kalau semua kerusi Umno bolot mana boleh. Kita mesti bertimbang rasa,” katanya.

Menjawab soalan sejauh mana MCA dan Gerakan yang dilihat kritikal dapat membantu BN mengekalkan kuasa pada pilihan raya umum akan datang, Shafie berkata, parti komponen perlu menerima hakikat bahawa mereka berhadapan dengan cabaran getir.

“Belum pernah dalam sejarah sokongan pengundi pudar kepada parti komponen tetapi dalam pada itu, ada juga yang meningkat,” katanya.

“Sokongan masyarakat India kepada MIC meningkat berbanding dengan dahulu tetapi dalam senario sekarang, semua parti komponen termasuk Umno sendiri harus berpegang pada kenyataan bahawa kalau kita nak terus memerintah selepas pilihan raya umum nanti, kita harus letak calon yang dikehendaki oleh pengundi,” katanya lagi.- Malaysian Insider

Tiada ulasan: