Jumaat, 9 September 2011

‘Ugutan SMS terhadap keluarga Mat Sabu kejam’

Pemimpin kanan DAP Selangor tersebut turut menggesa polis menyegerakan siasatan.



PETALING JAYA: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang juga exco kanan negeri Selangor mengutuk tindakan pihak yang menghantar ugutan SMS kepada isteri dan anak perempuan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan menyifatkannya sebagai kejam dan tidak berperi kemanusiaan.

Sehubungan itu, Teresa Kok mengatakan bahawa ugutan tersebut merupakan kesalahan jenayah jenayah di bawah Akta Multimedia dan Komunikasi 1998 dan Seksyen 503 di bawah Kanun Keseksaan.

“Mereka yang menghantar SMS ini menunjukkan diri mereka tidak berkebolehan membahaskan isu-isu yang dibincangkan secara matang, sabar dan rasional. Lebih teruk lagi, tindakan mereka menunjukkan mereka bersifat kejam dan tidak berperikemanusiaan kerana sanggup mencederakan mereka yang tidak bersalah,” katanya.

Kenyataan beliau timbul ekoran laporan media bahawa isteri dan anak perempuan Mohamad Sabu menerima SMS ugutan simbah asid.

Menurut orang nombor dua PAS itu, kiriman SMS itu diterima semalam dan beberapa hari lalu daripada individu yang tidak dikenali.

Mohamad menyifatkannya sebagai ancaman serius yang diterimanya berpunca laporan Utusan Malaysia berhubung ucapan yang dibuat dalam satu ceramah di Tasek Gelugor ada 21 Ogos.

Utusan melaporkan bahawa Mohamad telah menghina pejuang kemerdekaan dan memartabatkan komunis sebagai pejuang kemerdekaan.

Pemimpin DAP itu turut menggesa polis untuk menyegerakan siasatan dan menangkap pihak terbabit agar masyarakat sedar bahawa ugutan dalam bentuk pesanan ringkas adalah jenayah.

“Jika tidak, penjenayah akan berfikir mereka bebas melakukan jenayah tanpa sebarang hukuman.

Beliau turut menggesa pihak polis mengambil langkah untuk menjamin keselamatan Muhamad Sabu dan keluarganya.

Tiada ulasan: