Selasa, 6 September 2011

Tulis semula sejarah kemerdekaan secara ilmiah- Pemuda Pas

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor amat bersetuju sekiranya sejarah kemerdekaan Malaysia dikaji dan ditulis semula secara berilmiah dan beradab, kata ketuanya Hasbullah Mohd Ridzwan.

Justeru itu kerajaan perlu menyediakan pentas untuk perbincangan ilmiah membabitkan sejarahwan bersama dengan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan wakil Umno supaya mereka dapat membentangkan hujah dan fakta mereka berkaitan sejarah kemerdekaan Malaysia.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor meminta supaya pihak sejarahwan yang ada di dalam negara ini mendesak pihak kerajaan supaya membuka ruang yang seluas-luasnya untuk membicarakan isu kemerdekaan ini secara telus dan terperinci berdasarkan kajian dan ilmu mereka,” kata beliau dalam satu kenyataan media.

“Dewan Pemuda Pas Selangor amat bersetuju sekiranya sejarah kemerdekaan Malaysia dapat dikaji dan ditulis semula secara berilmiah dan beradab,” ujarnya.

Isu mengenai sejarah kemerdekaan ditimbulkan Mohamad Sabu yang menganggap Muhammad Indera sebagai hero sebenar dalam sejarah serangan Balai Polis Bukit Kepong pada 1950.

Menurut Hasbullah, Umno-BN sentiasa memomokkan kepada rakyat bahawa mereka sahaja yang berjuang untuk kemerdekaan negara sedangkan sejarah sebenarnya menukilkan Umno sebagai alat kepada penjajah.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor penuh yakin dan percaya bahawa Timbalan Presiden PAS mempunyai hujah dan fakta yang kukuh serta bertanggungjawab terhadap segala kenyataan yang beliau keluarkan,” ujarnya.

Menurutnya lagi, sejarah Malaysia masih banyak kelompongan fakta yang perlu diperbaiki terutama membabitkan perjuangan tokoh-tokoh agamawan yang telah mempelopori gerakan kebangkitan rakyat melawan penjajah.

“Masyarakat kini melihat seolah-olah sejarah kemerdekaan ini seperti sejarah Umno semata-mata tanpa membabitkan tokoh yang lain.

“Tokoh-tokoh ulama seperti Tok Janggut di Kelantan, Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu, Mat Kilau dan Dato’ Bahaman di Pahang selain Ustaz Abu Baqar Basyir, Dr. Burhanuddin Al Helmi juga merupakan pahlawan yang melawan penjajah di zaman masing-masing yang telah dinafikan hak mereka sebagai tokoh kemerdekaan Negara,” katanya.

Tiada ulasan: