Sabtu, 10 September 2011

`Taburan’ wang di kubu kuat PAS

FREE MALAYSIA TODAY

Adun Manir itu mendakwa, Umno membeli pengundi dengan harga RM200 ke atas.



Pilihan raya umum 13 Fokus DUN Manir

PETALING JAYA: PAS Terengganu mendakwa Umno telah menabur wang ringgit untuk merampas kerusi yang mereka kalah dalam pilihan raya umum lalu.

Salah satu kerusi yang menjadi idaman Umno ialah Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir yang diwakili oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib.

Adun Manir itu mendakwa, Umno membeli pengundi dengan harga RM200 ke atas.

“Umno memang mahu merampas kerusi Manir ini sejak dulu lagi kerana mahu meruntuh kekuatan PAS di negeri ini.

“Mereka menggunakan pelbagai cara tetapi InsyaAllah Dun Manir akan kekal di tangan PAS,” tambahnya.

Harun, 67 tahun mengalahkan calon BN Wan Sagar Wan Embong dengan majoriti 406 undi dalam pilihan raya umum 2008. Tokoh veteran PAS itu menjadi Adun Manir sejak tahun 1990.

Sumber dalaman Umno pula memberitahu seorang muka baru akan diletakkan parti itu dalam pilihan raya umum ke 13 kelak.

1,000 pengundi baru

Nama yang paling disebut-sebut ialah Yusof Awang Hitam yang kini menjadi pengerusi penyelaras Umno merangkap pegawai pembangunan DUN Manir.

Umno Manir juga dikatakan meletakkan sasaran untuk mendaftarkan seramai 1,000 pengundi baru ke dalam DUN tersebut.

Beberapa pemimpin PAS tempatan mendakwa Yusof mula mendampingi penduduk Manir sebaik berakhir pilihan raya umum 2008.

“Dia selalu berada di Manir hampir setiap hari berjumpa orang kampung dan menghulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan tanpa mengira parti politik.

“Saya yakin dia akan bertanding di Manir kali ini,” kata Wan Abdul Rahman Ismail, 45 tahun.

Seorang lagi penduduk yang enggan namanya disiarkan memberitahu, ramai pengundi Manir bercakap mengenai sumber kewangan Yusof dalam membantu penduduk di DUN berkenaan.

Menurutnya, orang hairan bagaimana Yusof boleh mengeluarkan wang dengan mudah untuk membantu penduduk Dun Manir.
“Saya mendengar beliau mendapat banyak projek kerajaan negeri termasuk di kawasan Manir sendiri,” katanya.

Tiada ulasan: