Jumaat, 16 September 2011

Suhakam: Najib perlu bentuk panel khas Parlimen jamin hak asasi

TERKINI

KUALA LUMPUR — Suhakam menggesa pentadbiran Najib menubuhkan jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenai hak asasi manusia bagi memperkukuhkan proses demokrasi berparlimen selari dengan beberapa inisiatif pembaharuan politik yang diumumkan semalam.

Pengerusinya Tan Sri Hasmy Agam berkata, Suhakam mengharapkan komitmen berterusan Putrajaya dan tanpa henti ke arah perlindungan dan promosi hak asasi rakyat, yang sememangnya menjadi tanggungjawab kerajaan.

Sehubungan itu kata Hasmy, suruhanjaya berpuas hati dengan langkah terkini yang diambil oleh kerajaan dan ingin memuji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atas keputusan yang penuh sejarah dan berani untuk melupuskan Ordinan Darurat, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan undang-undang terhad yang lain yang telah lama dituntut dan dinanti-nantikan rakyat, dan telah digesa secara berterusan pihaknya sejak lebih 10 tahun lalu.

“Pengumuman yang amat dialu-alukan ini tiba tepat pada masanya untuk semua rakyat Malaysia meraikan Hari Malaysia dan merupakan langkah positif ke arah peningkatan keseluruhan keadaan hak asasi manusia di negara ini.

“Ia merupakan semangat pendekatan 1 Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri sendiri dan selaras dengan ikrar untuk mengkaji semula secara komprehensif ISA apabila beliau memegang jawatan pada 2009,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Hasmy berkata Suhakam berharap pengumuman semalam akan dapat dilaksanakan secepat mungkin, dan dengan itu mengarak ke satu era baru untuk Malaysia dalam ia melangkah ke arah menjadi sebuah negara maju pada 2020 dan meletakkan ia di kalangan barisan negara-negara yang menghormati, melindungi dan mempromosi segala aspek hak asasi manusia secara bersungguh-sungguh dan konsisten.

“Selaras dengan hala tuju baru bagi negara ini, berdasarkan pengiktirafan realiti masa dan keperluan, aspirasi dan kebijaksanaan rakyat, Suhakam amatlah berharap agar Kerajaan akan mengadakan usaha baru yang lebih fokus ke arah penyertaan kepada instrumen-instrumen teras hak asasi manusia, yang mana Malaysia telah hanya ratifikasi tiga, dengan reservasi,” kata beliau.

Katanya, dalam menggubal mana-mana undang-undang baru dan perlu yang berkaitan dengan keselamatan negara, Suhakam juga mahu kerajaan agar memastikan undang-undang ini bukan sahaja mematuhi Perlembagaan Persekutuan tetapi juga prinsip-prinsip dan norma-norma hak asasi manusia antarabangsa, khususnya sebagaimana yang termaktub dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat, yang Malaysia berkewajipan untuk menegakkannya sebagai anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Majlis Hak Asasi Manusia.

Dalam perutusan khas sempena Hari Malaysia semalam, Najib mengumumkan bahawa ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

Katanya, dua undang-undang baru akan digubal di bawah “semangat serta payung” Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.

Perdana Menteri menegaskan bahawa undang-undang baru itu akan memperuntukkan tempoh tahanan polis yang lebih pendek daripada yang dijalankan pada masa ini.

Kerajaan juga menjamin bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.

Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa kerajaan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Kajian semula komprehensif ini akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.

Kerajaan juga akan mengkaji semula Seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.

Beliau juga berkata kebenaran berhimpun akan diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak dengan mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa.

Tiada ulasan: