Rabu, 7 September 2011

SPR: Mungkin silap penolong pendaftar

MALAYSIA KINI


Menjawab dakwaan DAP bahawa ada pengundi yang didaftarkan berdasarkan kad pengenalan pasangan mereka yang berkhidmat sebagai tentera, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihatkan penolong pendaftar supaya berhati-hati sewaktu menjalankan tugas.

Timbalan pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar (bawah) berkata kesilapan tersebut kemungkinan kerana kesilapan pegawai tentera yang dilantik sebagai penolong pendaftar.

NONEBeliau mengulas dakwaan ketua Pemuda DAP Anthony Loke semalam bahawa sekurang-kurangnya 21 pengundi pos dikesan didaftarkan berdasarkan kad pengenalan pasangan mereka yang berkhidmat sebagai tentera.

Berita Harian
hari ini melaporkan Wan Ahmad mengingatkan penolong pendaftar supaya "lebih serius dan berhati-hati" menyemak maklumat peribadi pemilih khususnya nama dan nombor kad pengenalan sebelum dikemukakan kepada SPR.

Katanya, kesilapan merekodkan maklumat peribadi pemilih akan memberi kesan tidak baik kepada suruhanjaya tersebut, yang sering menjadi sasaran kritikan pembangkang.

Penolong pendaftar dilantik oleh SPR untuk mendaftar pengundi baru disebabkan badan itu kekurangan tenaga kerja.

Wan Ahmad menegaskan, sebagai badan yang bertanggungjawab, SPR sentiasa mengingatkan penolong pendaftar, termasuk yang dilantik oleh Kementerian Pertahanan, untuk memperhalusi senarai nama pemilih baru termasuk pengundi pos.

Sambil mengakui bahawa daftar pemilih "tidak 100 peratus bersih", Wan Ahmad mengalu-alukan mana-mana parti politik membuat semakan kerana pihaknya tidak mempunyai apa-apa kepentingan politik.

"Kalau ada yang tidak kena dengan daftar pemilih, lapor kepada SPR dan kita akan pastikan 'pembersihan' akan dilakukan dengan segera," Wan Ahmad dipetik sebagai berkata.

Tiada ulasan: