Ahad, 25 September 2011

Sokong BN: KPN perlu kembali ke sekolah – AMK

Oleh: Masdar Wahid

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Ismail Omar dinasihatkan kembali ke sekolah, kata Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin.

Ini kerana katanya, Ismail masih jahil dan gagal memahami sistem demokrasi dan pengasingan kuasa seperti mana yang termaktub dalam perlembagaan.



“Sebagai KPN, beliau bukan sahaja tidak boleh mencampuri urusan eksekutif, tetapi juga bidang perundangan dan kehakiman negara.

“Jelas, kenyataan KPN ini mengukuhkan lagi persepsi rakyat bahawa Polis ialah barua Umno BN,” katanya dihubungi Keadilandaily.com.

Beliau mengulas kenyataan Ismail yang menjangkakan BN akan kalah jika gagal menangani isu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Jika kerajaan (persekutuan) tidak dapat mengurus isu ini (ISA) dengan baik, ia akan membawa kepada kekalahan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” kenyataan Ismail dipetik.

Ismail berkata demikian dalam satu bab bertajuk ‘Keamanan dan Keselamatan Ke Arah Pembentukan Negara Maju’ dalam buku berjudul ’1 Malaysia Menjana Negara Sejahtera dan Bahagia Menjelang 2020′.

Buku itu dikeluarkan sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan akta ISa akan dimansuh dan diganti dengan dua undang-undang baru.

Mengulas lanjut, Shamsul yang juga seorang peguam berkata, Ismail sepatutnya bersikap profesional dan memahami tugas sebenar polis.

“Tugas polis menjaga keselamatan rakyat dan bukannya mencampuri urusan politik,” katanya.

Sejak Pakatan Rakyat berjaya menafikan majoriti 2/3 Umno BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, polis semakin zalim dengan mengganggu banyak program Pakatan.

Namun, pada masa sama bersikap lembut, jika melibatkan Umno BN.

Terbaru, kehadiran Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam program AMK Melaka diganggu sekumpulan Pemuda umno yang diketuai, Lokman Noor Adam.

Malangnya, kira-kira 50 anggota polis yang berada di situ tidak menghalang tindakan pemuda Umno itu, apatah lagi menahan mereka.

Malah, ucapan Anwar pada malam tadi disabotaj pihak tertentu apabila bekalan elektrik terputus ketika beliau mengupas isu ketakutan Umno terhadap kebangkitan rakyat.

Tiada ulasan: