Abdul Aziz Mustafa |
KUALA LUMPUR: Jangan hanya janji mahu kaji Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, tetapi luluskan segera permit Suara Keadilan, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu. "Tak perlulah (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) menambahkan lagi koleksi janjinya, banyak yang tidak ditunaikan. "Jangan hanya janji nak kaji Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, tapi pada masa yang sama terus menyekat permit Suara Keadilan," katanya. Mohamad melihat janji Najib itu tidak ubah seperti "sebelah tangan seolah-olah mahu menyuap makanan tetapi sebelah tangan lagi terus memukul kepala kita dengan kayu". "Najib kata mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik, tetapi kebebasan bersuara terus ditahan hanya kerana ideologi politik. "Permohonan PAS untuk menerbitkan akhbar harian ditolak, pihak pembangkang tidak diberikan peluang dan liputan yang sama dalam media milik rakyat seperti RTM," katanya ketika diminta memberikan ulasan lanjut kepada pengumuman Perdana Menteri dalam perutusan khas Hari Malaysia. Antara lain, Najib berjanji akan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960, Akta Buang Negeri 1959 dan mengkaji beberapa undang-undang seperti Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Dalam reaksi awalnya kepada janji-janji Najib itu, Mohamad berharap peruntukan dalam akta baru bagi menggantikan ISA tidak menyerupai akta tersebut. "Kita tidak mahu pengumuman penghapusan ISA ini sebagai gimik pilihan raya tetapi ia benar-benar diusahakan kerana ia adalah tuntutan sebahagian besar rakyat di negara ini," katanya kepada pemberita di Kota Kinabalu Jumaat lalu. Ketika ditanya adakah rakyat perlu berterima kasih dengan pemansuhan ISA, Mohamad berkata, yang penting untuk dipersoalkan ialah mengapa akta yang telah menzalimi banyak pihak itu disalahgunakan? "Samalah apabila kita dibebaskan selepas ditahan di bawah ISA, tidak relevan pertanyaan adakah kita hendak berterima kasih atau tidak, yang perlu dipersoalkan ialah kenapa tangkap kita di bawah ISA, kenapa zalimi kita?" kata beliau. Beliau mengingatkan supaya jangan berlebihan menyambut janji-janji Najib itu. "Tengok dulu adakah akta yang menggantikan ISA itu. Adakah ia zalim seperti ISA juga? Adakah ia boleh disalahgunakan untuk menzalimi aktivis parti pembangkang?" katanya. |
Ahad, 18 September 2011
'Sebelah tangan suap, sebelah lagi pukul'
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan