Rabu, 7 September 2011

Rais: K'jaan teliti sentimen komunis di Internet

MALAYSIA KINI


Kerajaan sentiasa meneliti perkembangan sentimen komunis di Internet, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim.

Katanya, ketika ini, kebanyakannya digunapakai lebih kepada kepentingan perjuangan politik pembangkang.

Ditanya sebab kerajaan membenarkan kisah perjuangan komunis disebarkan secara meluas di Internet, Rais berkata:

"Negara kita bebas bersuara, tetapi jangan sampai pecah-belahkan masyarakat kerana kita ada undang-undang."

Rais berkata demikian ketika diminta mengulas sidang akhbar PAS di Kuala Lumpur semalam yang menyatakan pendirian sebenar parti itu berhubung isu berkenaan, iaitu iaitu mereka menolak komunis.

Penjelasan itu dibuat berikutan bantahan masyakarat, terutama bekas pejuang dan tentera, yang secara lantang mengutuk timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu kerana mendakwa kemerdekaan negara ini diperjuangkan oleh komunis.

Rais mendakwa sokongan rakyat yang semakin rebah terhadap PAS ekoran kelancangan Mohamad Sabu, menyebabkan parti itu terpaksa mengalah dalam isu perjuangan kemerdekaan negara ini, yang menurut menteri berkenaan, sebenarnya dilakukan Umno.

Rais berkata sesiapa sahaja di Malaysia, yang membayangkan sokongan terhadap komunis, tidak akan berjaya.

"Rakyat masih ingat gara-gara komunis di zaman darurat dahulu, ribuan telah maut, ada yang patah kaki, dan ada yang hilang upaya," katanya kepada pemberita selepas majlis rumah terbuka beliau sempena Aidil Fitri di Jempol semalam.

Beliau berkata keganasan komunis menimbulkan kesan yang amat buruk kepada negara, dan sesiapapun tidak sepatutnya cuba membangkitkan isu perjuangan mereka.- Bernama

Tiada ulasan: