Khamis, 1 September 2011

Putrajaya wujud 100 lagi Kedai Rakyat 1 Malaysia

THE MALAYSIAN INSIDER

KUCHING — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yakin konsep Kedai Rakyat 1 Malaysia boleh diperluaskan lagi ke seluruh negara termasuk ke kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Timbalan menterinya Datuk Rohani Abdul Karim berkata, Kedai Rakyat 1 Malaysia mampu menawarkan barang dengan jenama “1 Malaysia” pada harga lebih rendah sehingga 40 peratus berbanding harga di pasar raya ataupun kedai runcit yang lain.

"Kerajaan mahu memastikan rakyat ada pilihan dalam membuat pembelian barang dan dengan adanya Kedai 1 Malaysia mereka boleh memilih sama ada mahukan produk berjenama ataupun produk 1 Malaysia yang setaraf dari segi kualiti," katanya dipetik Bernama Online.

Rohani berkata pihak yang berminat dengan konsep kedai itu boleh memohon permit penggunaan paten jenama 1 Malaysia daripada Jabatan Perdana Menteri dan memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Menurutnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan merancang mewujudkan sekurang-kurangnya 100 lagi kedai seperti itu di seluruh negara dan tidak hanya bertumpu di kawasan bandar utama.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merasmikan Kedai Rakyat 1 Malaysia pertama di stesen LRT Kelana Jaya di Petaling Jaya Julai lalu.

Tiada ulasan: