Sabtu, 3 September 2011

Populariti Najib: Merdeka Center pertahan kajian, bukan ‘pendapat peribadi kami’


KUALA LUMPUR — Merdeka Center mempertahankan hasil kajian pihaknya mengenai populariti kepimpinan Datuk Seri Najib Razak, yang diumumkan Isnin lalu, sambil menegaskan reaksi ‘dingin’ pemimpin-pemimpin Umno memang sudah dijangkakan.

Hasil kajian terbaru itu menunjukkan populariti Najib terus merosot, antara lain disebabkan isu inflasi dan cara menangani perhimpunan Bersih 2.0 pada Julai lalu.

Sehubungan itu Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian berkata, “kami sememangnya menjangka akan ada pihak yang akan mempertikai penemuan kajian tersebut, oleh yang demikian kami telah meneliti dan menyemak keputusan tersebut beberapa kali sebelum menyiarkannya.”

Kata beliau, pihaknya reaksi sedemikian sebagai satu proses di mana mutu perdebatan awam dapat dipertingkatkan menerusi penyiaran hasil penjejakkan pendapat umum sebagai suatu input berasaskan penemuan dan bukannya pendapat peribadi semata-mata.

Ibrahim diminta mengulas mengenai pendirian sebahagian pemimpin Umno yang melahirkan rasa tidak senang dan tidak dapat menerima hasil kajian tersebut.

Sebagai contoh, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim (gambar) berkata, kepimpinan Najib sebagai Perdana Menteri diterima majoriti rakyat di negara ini.

Rais berkata kajian yang dijalankan oleh Jabatan Penerangan Malaysia mendapati kepimpinan Perdana Menteri amat kukuh di kalangan rakyat di negara ini terutamanya daripada segi penerimaan program pembelaan rakyat.

Sehubungan itu, beliau menganggap laporan kajian Merdeka Centre yang mengatakan populariti Perdana Menteri semakin menurun sebagai tidak berasas.

“Mereka hanya mengambil beberapa sampel yang tidak menyentuh komuniti luar bandar, masyarakat India yang tidak menyeluruh, masyarakat yang berada di sekitar kuala Lumpur yang mempunyai sokongan kuat dan padu kepada Perdana Menteri,” katanya.

Kajian terbaru Merdeka Centre mendakwa aliran populariti Najib terus mengalami penurunan daripada 72 peratus pada Mei 2010 kepada 69 peratus November lalu, 67 peratus pada Mac tahun ini dan seterusnya ke paras 65 peratus Mei lalu dan yang terbaru 59 peratus.

Ibrahim berkata, bagi menjawab persoalan berhubung ketepatan dan metodologi kajian, ia merupakan kaedah yang sentiasa Merdeka Centeri gunakan - persampelan strata secara rawak — yang memastikan pemilihan responden dilakukan secara rawak agar dapat mengurangkan bias, tetapi dikawal bagi memastikan ia mencerminkan profil pemilih berasaskan daftar pemilih Disember 2010 menurut kaum, negeri, jantina dan kumpulan umur.

“Ketepatan kajian sebenarnya berasaskan sejauh mana sampel mewakili taburan penduduk yang dikaji dan bukannya jumlah responden.

“Oleh itu kami sangat cermat dalam memastikan para responden yang ditemu bual mewakili taburan pengundi setelah mengambil kira batasan kaedah temu bual (telefon),” kata Ibrahim sambil menambah, ia kaedah yang telah “kami gunakan semenjak tahun 2003 lagi dan merupakan pendekatan yang menemui tahap puas hati kepada perdana menteri (Najib) adalah 72 peratus pada bulan Mei 2010.”

Ibrahim juga berkata, pihaknya juga memahami tentang keperluan politik dalam kenyataan-kenyataan yang dibuat dan hasil kajian ini tidak mencerminkan apa-apa melainkan sentimen rakyat terhadap subjek tersebut sewaktu kajian dilakukan.

“. . . apa yang perlu diambil dari penemuan tersebut adalah merangka kaedah bagaimana keadaan tersebut dapat diubah seperti contoh, meningkatkan tahap puas hati serta mutu perkhidmatan kepada rakyat,” kata Ibrahim lagi.

Malah katanya, secara umum, hasil kajian yang menunjukkan tahap puas hati pada Najib berada pada 59 peratus merupakan kedudukan yang masih positif dan selesa.

“Tetapi adalah agak sukar serta tidak berpatutan untuk memikirkan bahawa tahap puas hati boleh kekal tinggi ketika kadar inflasi, ketidaktentuan ekonomi semasa berserta isu-isu sosiopolitik semasa mengasak pengundi secara berterusan.

“Ini ialah kerana sentimen pengundi sentiasa berubah-ubah terlebih sekali apabila berlakunya sesuatu peristiwa besar yang diberi liputan meluas oleh media,” katanya.

Ibrahim menjelaskan, jika dilihat pada penemuan Merdeka Center masa lalu, penemuan kajian sememangnya mencerminkan sentimen semasa seperti contoh kajian pada pertengahan 2006, yang telah pun menunjukkan bahawa sokongan pengundi Cina telah beralih pada pembangkan, serta sentimen pengundi sebelum pilihan raya umum 2008.

Tiada ulasan: