Selasa, 13 September 2011

PKR: Rundingan kerusi Pakatan tidak boleh dihebahkan

FREE MALAYSIA TODAY

Tentunya dalam mana-mana proses perundingan, akan ada wujudnya keadaan yang menduga kesefahaman semua pihak yang berunding.



PETALING JAYA: PKR menyokong Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Johor, Datuk Chua Jui Meng meneruskan rundingan bagi mencapai persetujuan hakiki dalam urusan rundingan kerusi dengan parti lain di negeri itu.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, Majlis Presiden Pakatan Rakyat mengeluarkan arahan pimpinan parti supaya hal ehwal rundingan kerusi tidak dibincang mahupun dihebah secara terbuka.

“Proses rundingan kerusi di antara parti-parti sekutu Pakatan Rakyat merupakan suatu proses yang berterusan yang menjadi tanggungjawab bersama pimpinan PKR, PAS dan DAP.

“(Ia) bagi mencapai satu matlamat yang khusus – iaitu bagi menumbangkan kerajaan Barisan Nasional dalam pilihanraya umum ke-13 ini, yang kian terserlah kegagalan mereka untuk membela nasib rakyat serta cara dan keputusan pentadbiran mereka yang kini terus dipersoalkan ketelusannya.

Patuhi ketetapan

“Tentunya dalam mana-mana proses perundingan, akan ada wujudnya keadaan yang menduga kesefahaman semua pihak yang berunding,” kata Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan media lewat petang ini.

Ahli Parlimen Machang itu dipercayai merujuk kenyataan media yang dbuat pucuk pimpinan Pakatan rakyat Johor mengenai pembahagian kerusi untuk pilihan raya umum akan datang.

“Saya dengan ini menasihatkan kesemua ahli-ahli pimpinan PKR, PAS dan DAP Johor, dan juga di lain-lain negeri untuk mematuhi ketetapan dan arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Presiden Pakatan Rakyat serta menghormati dan menerima konsep kerjasama Pakatan Rakyat yang menekankan rasa hormat-menghormati sesama kita dalam ertikata yang sebenarnya.

“Saya juga menggesa kesemua ahli-ahli pimpinan PKR, PAS dan DAP untuk terus memberi tumpuan terhadap keperluan dan persediaan kerja jentera pilihanraya masing-masing bagi terus menyerlahkan peluang Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan dalam Pilihanraya Umum ke-13 nanti.

Tiada ulasan: