Ahad, 18 September 2011

PKR Ragui Klip Terbaru, Dakwa Umno-BN Teruskan Taktik Lama

TVS NEWS


KUALA LUMPUR : Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan tindakan menyiarkan satu lagi sedutan klip, menunjukkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan lif apartmen lokasi didakwa melanggani pelacur asing, sebagai perbuatan terdesak Umno-BN berterusan dan terancang dengan bantuan pihak berkuasa.

Naib Presiden PKR N Surendran berkata, pihaknya yakin tindakan sedemikian akan dipertingkatkan ketika pilihan raya umum ke-13 disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat.

Sambil menegaskan orang ramai sudah bosan dengan perbuatan sedemikian, peguam ini menambah, beliau yakin Umno-BN akan meneruskan serangan sedemikian selepas ini.

“Saya hendak sebutkan dengan ringkas ... ini kerja terdesak musuh politik Datuk Seri Anwar (gambar), mereka merancang dan adakan klip-klip rekaan, dan saya yakin setiap bulan akan ada terbitan macam ini ... ini dilakukan oleh Umno-BN, dengan kerjasama pihak berkuasa, saya berani untuk mengatakan yang ini,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider malam tadi.

“Sebagaimana kami katakan sejak timbulnya klip rakaman sebelum ini, dalam dunia teknologi yang canggih pada masa sekarang, bukan sukar untuk mengadakan bahan-bahan macam ... saya yakin mereka akan terus dengan perbuatan mereka sehingga pilihan raya,” kata beliau yang turut mengakui bahawa warna pakaian dikenakan oleh ahli perniagaan Datuk Shahzryl Eskay Abdullah dalam video yang dipertontonkan pada Mac lalu dan disebarkan menerusi Internet kemudian berbeza dengan dalam sedutan klip terbaru dilihat semalam.

“Ya, kedua-duanya jauh berbeza ... ini sudah cukup untuk mengatakan bahawa ada unsur rekaan dan manipulasi, yang penting untuk dikatakan di sini ialah pihak terbabit mereka cipta bahan macam ini,” katanya lagi sambil menambah, biar rakyat menilai perbuatan mereka.

Kata beliau, musuh politik seharusnya berani untuk berhadapan isu-isu dasar daripada menggunakan taktik dan serangan macam ini.

Selepas mendedahkan klip rakaman video seks, didakwa pelakunya Anwar awal tahun ini, semalam blog pro-Umno menyiarkan sedutan klip menunjukkan Ketua Pembangkang itu memasuki lif premis lokasi kejadian.

Sedutan yang dibawa blog papagomo menunjukkan Anwar memasuki lif sebuah apartmen dengan diiringi Shahzryl Eskay, dirakamkan melalui kamera litar tertutup (CCTV).

Ia menunjukkan Anwar memakai baju ungu dan berselipar manakala Shahzryl Eskay sut berwarna hitam.

Dua sedutan klip dimuatkan iaitu masing-masing satu ketika masuk ke dalam lif dengan Anwar di depan dan satu lagi ketika keluar dari lif. Ketika keluar lif, Shahzryl Eskay berada di depan.

Butiran pada sedutan itu menunjukkan mereka masuk ke dalam lif pada pukul 10.09 malam dan keluar pada pukul 10.52 malam, 21 Februari lalu.

Tarikh itu sama dengan tarikh kejadian hubungan seks dengan pelacur dari China didakwa diadakan, yang didedahkan oleh “Datuk T” pada 21 Mac lalu.

Sedutan ini berwarna manakala klip rakaman yang didedahkan pada 21 Mac lalu pula berwarna hitam. Sedutan klip rakaman hitam putih telah pun didedahkan kepada umum melalui blog-blog Umno sebelum ini.

Kata blog papagomo, “rakaman yang mana dirakam oleh CCTV dengan warna jelas dan muka Anwar juga jelas kelihatan. Waktu rakaman juga selari dengan apa yang dilakukan oleh Dato Seri Anwar bersama pelacur China tersebut.”

Blog itu juga mendakwa waktu yang dicatatkan pada video seks tersebut seiring dengan rakaman CCTV yang menunjukkan Anwar masuk ke dalam lif dan kemudian keluar.

“Malah sebelum ini juga kita semua telah didedahkan dengan kehilangan Datu Seri Anwar Ibrahim dalam Twitter dan Facebook waktu hubungan seks tersebut berjalan,” kata blog tersebut.

Anwar bagaimanapun telah menafikan ‘kehilangan’ yang dimaksudkan dan beliau juga bukan lelaki yang didakwa dalam video itu.

Beliau membuat laporan polis pada 22 Mac lalu iaitu sehari selepas Shahzryl Eskay mendedahkan klip rakaman itu.

Shahzryl dan bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuib Lazim - mengelar diri mereka “Datuk T’mengaku bertanggungjawab atas tindakan mendedahkan klip itu kepada wakil media terpilih pada 21 Mac lalu di Carcosa Seri Negara.

Pada 24 Jun, trio “Datuk T” itu mengaku bersalah menayangkan rakaman video seks Mac lalu dan dikenakan denda total RM5,500.

Tiada ulasan: