Sabtu, 17 September 2011

Pengakuan PM Bangladesh Bukti Wujud Penyelewengan Dalam Pentadbiran

Najib Ditulis oleh Naeem Raffi


PETALING JAYA : Pengakuan Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina Wajed mengenai rakyatnya di Malaysia, mudah memperoleh status penduduk tetap (PR) dan layak mengundi dipersoalkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, perkara itu adalah sesuatu yang serius selain memperlihatkan tindakan pentadbiran perdana menteri menyalahgunakan kuasa sedia ada dengan sewenang-wenangnya memberi kerakyatan kepada warga asing demi kelangsungan politik sempit mereka.

"Ini isu nasional, bagaimana mungkin dalam sebuah negara yang kononnya cekap dan canggih dengan kemudahannya boleh mengizinkan pemansuhan terang-terangan, saya mengikuti web site yang mendedahkan Perdana Menteri Bangladesh bahawa ramai rakyatnya diizinkan untuk mengundi di Malaysia, saya minta pengesahan lanjut kerana ia adalah pengesahan yang sah dari laman web kementerian Bangladesh" katanya pada satu sidang media di sini hari ini.

Dalam laporan dibawa oleh Keadilan Daily semalam, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Fuziah Salleh mendesak siasatan dibuat terhadap pengakuan Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina Wajed mengenai rakyatnya yang bekerja di Malaysia mudah memperoleh status kewarganegaraan dan layak mengundi.

“Kita desak tubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kenyataan Perdana Menteri Bangladesh berkenaan perkara ini. Jika perkara ini berlaku, Najib perlu bertanggungjawab dan berani tampil memberikan penjelasan,” kata Fuziah yang juha Ahli Parlimen Kuantan memetik pengakuan Sheikh Hasina, yang dipetik dari www.ngoab.gov.bd — laman rasmi hal ehwal badan bukan kerajaan (NGO) Jabatan Perdana Menteri negara itu.

Maklumat laman itu mendakwa Sheikh Hasina berkata pekerja-pekerja Bangladesh di Malaysia diberi kewarganegaraan dengan mudah asalkan mengundi parti yang mewakili kerajaan pemerintah.

Beliau juga mengesahkan sebilangan pekerja Bangladesh dalam beberapa sektor di Malaysia, diberi taraf kewarganegaraan sejak tahun lalu.

Katanya, mereka juga diberi hak sebagai pengundi dalam pilihan raya umum akan datang.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberitahu bahawa dakwaan warga asing diberikan kerakyatan adalah tidak benar dan perkara itu akan ditangani oleh jawatankuasa pilihan khas Parlimen yang bakal meneliti pembaharuan pilihan raya.

Jawatankuasa itu akan dibentuk apabila Parlimen bersidang awal bulan depan.

Kesal dengan situasi ini, Anwar menyifatkan apa yang dilakukan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai sesuatu yang aneh dengan memperjudikan negara apabila bertindak sembrono memberi hak kepada warga asing sebagai pengundi.

"Di Malaysia ini masih ramai, susah payah kita berkempen, perlu adakan pendaftaran dicampur pula dengan karenah pentadbiran yang mempersulitkan urusan pendaftaran kita, tetapi dengan mudah mereka memberi hak kepada warga Bangladesh," tambahnya.

Tiada ulasan: