Rabu, 21 September 2011

Peneroka Bera pula saman Felda

Salhan K Ahmad


Sekumpulan 550 orang peneroka gugusan Bera, Pahang memfailkan saman ke atas Felda hari ini atas dakwaan penipuan yang dilakukan oleh lembaga berkenaan berhubung bayaran ke atas hasil sawit mereka.

Peguam, Nasar Khan berkata, peneroka berkenaan tidak berpuas hati dengan penggredan buah sawit serta kadar perahan minyak yang ditetapkan di tiga kilang Felda sejak tahun 1995.

"Kita juga kemuka saman berhubung tandan buah yang ditolak, tapi tetap diproses Felda. Kemudian dia tidak bayar. Mungkin kualiti buah itu kurang baik tapi kenapa diproses?

"Maknanya Felda ambil buah itu secara percuma daripada peneroka," dakwanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Katanya lagi, peneroka itu dibayar mengikut harga pasaran dunia, tetapi berdasarkan gred buah yang ditetapkan Felda – biasanya pada kadar 18 hingga 19 peratus.

"Tapi dia tidak telus. Bila kita hantar ke makmal, makmal kata kadar (perahan minyak) buah itu lebih 25 peratus. Itu (diberitahu) makmal Felda sendiri, bukan makmal luar," tambahnya.

Turut dituntut ialah bayaran daripada hasil isirung sawit, kata Nasar yang menambah bahawa peneroka berkenaan masih belum dapat menganggarkan berapakan jumlah yang perlu dituntut daripada Felda.

"Untuk tahun 2008 sahaja, kita anggarkan jumlah tuntutan sebanyak RM19 juta," katanya lagi yang menjelaskan jumlah tuntutan itu mungkin bertambah atau berkurang untuk setiap tahun sejak 16 tahun lalu.

Jelasnya, peneroka berkenaan juga memohon supaya Felda menyerahkan dokumen berhubung kiraan bayaran, harga pasaran serta kuantiti hasil sawit tersebut sejak tahun 2005.

Writ saman berkenaan difailkan di Mahkamah Tinggi Temerloh hari ini, kata Nasar lagi.

Tiada ulasan: