Ahad, 18 September 2011

Penduduk Gempar, 300 MyKad, Kad Bank, Lesen Memandu Ditemui Berterabur

KELAB GREENBOC

Alor Setar: Penduduk Kampung Seberang Pumpong, di sini, menemui hampir 300 keping MyKad, MyKid, lesen memandu, kad bank, kad kredit dan pelbagai jenis kad yang bertaburan di dalam tali air dan tepi jalan masuk ke kampung berkenaan berhampiran Kompleks Sukan, Jalan Suka Menanti, di sini, semalam.

Beberapa penduduk yang melalui jalan itu membuat laporan polis pada jam 9.30 pagi selepas pelik melihat ratusan dokumen penting milik pelbagai individu itu dibuang begitu saja di sepanjang laluan sepanjang 200 meter itu.

Seorang penduduk berkata, dia menemuinya ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di kampung berkenaan petang kelmarin sebelum memberitahu rakannya.

Dia yang enggan dikenali berkata, dia terkejut melihat banyak MyKad dan lesen memandu milik bertaburan di tepi jalan dan tebing tali air berkenaan.

“Petang semalam (kelmarin) air pasang dan tali air itu dalam. Namun apabila air surut pagi ini (semalam), lebih banyak dokumen penting itu dijumpai. Ia seolah-olah dibuang dalam keadaan tergesa-gesa.

“Saya tidak berani mengambilnya lalu pulang ke rumah sebelum memberitahu rakan. Hari ini (semalam) baru kami pergi membuat laporan polis,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Tinjauan Metro Ahad semalam mendapati, selain dokumen penting itu, turut dijumpai ialah pelbagai jenis kad termasuk kad kesihatan, kad beli-belah, slip transaksi bank dan buku akaun bank.

Tinjauan juga mendapati pemilik MyKad dan lesen memandu terbabit kebanyakannya beralamat di sekitar bandar raya ini, Jitra dan Yan. Selain itu ada yang beralamat di Pulau Pinang, Perlis dan Langkawi.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Baharom Abu berkata, 298 keping dokumen pelbagai jenis itu ditemui di sepanjang tali air dan jalan di kawasan itu.

Beliau berkata, jumlah itu membabitkan 102 keping MyKad; 126 lesen memandu; 51 kad bank dan 19 keping pelbagai kad, termasuk MyKid.

“Kita percaya ia perbuatan individu atau kumpulan tertentu yang melakukan jenayah seperti ragut, pecah kereta dan pecah rumah sebelum membuang dokumen milik mangsa di kawasan itu,” katanya.

Katanya, selain di negeri ini, ada pemilik MyKad dan lesen memandu itu beralamat di Pulang Pinang dan Perlis.

Baharom berkata, pihaknya sudah mengumpul semua dokumen itu dan akan mengesan pemiliknya bagi mengetahui bagaimana mereka kehilangan MyKad atau lesen memandu itu.

“Dari situ kita boleh mengetahui mereka mungkin menjadi perbuatan jenayah atau sebaliknya,” katanya. -hm

Tiada ulasan: