Selasa, 20 September 2011

Pemuda PAS: Wujudkan panel Syariah LPF dan FINAS

'Jangan apabila sudah wujudnya kontroversi baru mencari ulamak untuk melepaskan diri," katanya.



PETALING JAYA: Ketua Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hasan Tantawi hari ini mencadangkan agar LPF dan FINAS mewujudkan panel syariah agar panel syariah yang berauthoriti sebagai lembaga penapisan yang tertinggi terutama dalam menapis cerita atau filem yang mempunyai kaitan dengan agama Islam.

Selain itu, Dewan Pemuda PAS juga menyeru kepada mereka yang terlibat secara langsung di dalam industri ini seperti penerbit, pelakon dan penyiar untuk merujuk kepada alim ulamak seperti mufti atau pihak berkuasa Agama seperti Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia [JAKIM] terlebih dahulu sebelum menerbitkan sesebuah filem.

“Jangan apabila sudah wujudnya kontroversi baru mencari ulamak untuk melepaskan diri,” katanya dalam entri blog beliau hari ini.

Beliau turut menyelar tindakan Lembaga Penapisan Filem dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) kerana kedua-dua badan tersebut membenarkan filem-filem yang berbaur penghinaan kepada Islam diterbitkan untuk tontotan umum.

Mengambil contoh filem Hantu Bonceng arahan Ahmad Idham Ahmad Nazri yang dilakonkan Mohd Razizan Abd Razak, Nasrudin berkata:

“Salah satu babak yang dilakonkan secara jelas menghina Rasulullah SAW apabila Razizan menyebut “Asyhadu anna Muhammadar Syaitan” yang membawa maksud “Aku naik saksi bahawa Muhammad itu Syaitan”.

“Apa yang ditapis selama ini ? Penapis apa yang mereka pakai ? Penapis teh atau penapis cendol yang berlubang besar sehingga masih banyak adegan yang “menyenakkan mata” dan mengganggu sensitiviti masyarakat, lolos menjadi paparan umum melalui filem yang telah diluluskan.”

Beliau menegaskan bahawa kalimah syahadah bukan perkataan yang boleh dijenakakan atau dipersenda sedemikian rupa justeru ia membawa kesan yang boleh menggugurkan syahadah walaupun ia sekadar lakonan.

Beliau menambah bahawa adegan tahyul akan turut memberi persepsi salah kepada masyarakat bukan Islam dan turut merosakkan akidah

Tiada ulasan: