Sabtu, 17 September 2011

Pelan Dan Visi Selangor 2011-2013 Dilancar

Ditulis oleh Afix Redzuan


SHAH ALAM : Pelancaran Agenda Selangorku, Pelan dan Visi Untuk Tiga Tahun menunjukkan komitmen serius kerajaan negeri dalam memacu Selangor sebagai negeri idaman dan contoh di Malaysia.

Sebelum ini, kerajaan negeri memperkenalkan dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang berjaya memberikan manfaat kepada rakyat sejak dibawah Pakatan Rakyat (Pakatan).

Agenda pembangunan yang dilancarkan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim merupakan pelan tindakan dan visi untuk tiga tahun 2011 hingga 2013.

Rancangan ini mengutamakan lima fokus utama iaitu pilihanraya tempatan, perumahan, keselamatan, gaji minima dan infrastruktur.
Untuk membela, golongan berpendapatan rendah, semua anak syarikat negeri akan melaksanakan gaji minima RM 1,500 sebulan yang akan berkuatkuasa pada 1 Januari 2011.

Perkara ini menunjukkan komitmen kerajaan negeri terhadap warga kerja di negeri ini sekaligus memberikan isyarat jelas kepada kerajaan persekutuan supaya memperkenalkan skala gaji minima kebangsaan yang selama ini dituntut oleh pelbagai pihak.

Sebelum ini, Pakatan menerusi Buku Jingga berjanji memperkenalkan skim gaji minima untuk semua pekerja di Malaysia dalam 100 hari pentadbiran di Putrajaya.

Dengan kekangan pemilikan rumah yang dialami oleh rakyat, kerajaan negeri merancang pembinaan rumah mampu milik seluas 850 hingga 1,000 kaki persegi berharga RM 100,000.

Projek ini mensasarkan golongan berpendapatan antara RM 2,500 hingga RM 5,000 sebulan.

Pembangunan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan membina 11,000 unit setiap tahun di kawasan seperti Hulu Selangor, Gombak, Kota Kemuning, Hulu Selangor, Hulu Langat, Petaling Jaya dan Shah Alam dengan projek sulung telah bermula di Bangi.

Kerajaan Negeri juga memperuntukkan RM3 juta bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) untuk aspek keselamatan penduduk setempat sebagai usaha membenteras jenayah yang semakin berleluasa.

Pemasangan ini akan dimulakan di Subang Jaya.

Bagi sudut pembangunan infrastruktur pula, setiap DUN mendapat peruntukkan RM1 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya, longkang dan sebagainya di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan.

Sementara itu, bagi kampung-kampung baru diberikan peruntukkan RM5 juta untuk pembangunan dan RM4 juta untuk pembaikan jalan-jalan di kampung tradisi.

Untuk fokus pilihan raya tempatan, kerajaan negeri bakal mengadakan pilihan raya tempatan pertama di Petaling Jaya pada 2011.
Agenda ini berpaksikan dasar pembangunan yang mampan dan holistik serta mekanisme pemantauan yang telus.

Setiap perkara dalam agenda ini mengutamakan kebajikan rakyat dan prinsip-prinsip pentadbiran beramanah demi memastikan masa depan yang cerah untuk semua.

Segala idea dan cadangan ini dihasilkan melalui rundingan dan maklum balas yang melibatkan kerajaan negeri, ketua masyarakat dan pihak industri menerusi sesi dialog yang diadakan bersama 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Menteri Besar.

Dalam pada itu, Abdul Khalid mengingatkan peluang pemerintahan sendiri yang dikecapi selepas kemerdekaan perlu diinsafi dan bukannya alpa sehingga mengakibatkan kelemahan urustadbir.

“Kita telah banyak mendengar isu-isu seperti rasuah, salah guna kuasa, kezaliman, pengurusan cekap dan perlahan serta pelbagai lagi masalah sehingga menimbulkan pelbagai kegusaran.

“Sempena sambutan kemerdekaan dan pembentukan hari Malaysia ini, marilah kita berikrar untuk memegang prinsip dan etika kerja yang cemerlang dan bertekad untuk memerangi segala kelemahan yang ada dengan kesungguhan,” katanya.

Sambutan Perayaan Kemerdekaan ke-54 dan Hari Malaysia peringkat Negeri Selangor dengan tema ‘Selangorku Idamanku’ berlangsung meriah di Dataran Merdeka Shah Alam.

Hampir 5,000 pengunjung hadir bagi menyaksikan pelbagai persembahan yang bertemakan perayaan kemerdekaan dan hari Malaysia yang jatuh pada 16 September setiap tahun.

Turut hadir, Isteri Menteri Besar, Puan Sri Salbiah Tunut, barisan pimpinan kerajaan negeri, dan wakil anak syarikat kerajaan negeri serta kakitangan daripada pelbagai agensi kerajaan.

Tiada ulasan: