Khamis, 1 September 2011

PAS ucap takziah kepada keluarga Hasan Ahmad

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: PAS mengucapkan takziah kepada keluarga bekas Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Dr Hasan Ahmad yang meninggal dunia petang tadi.

“Bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pimpinan dan ahli-ahli seluruhnya, saya mengucapkan takziah terhadap keluarga Almarhum Datuk Dr Hasan Ahmad yang telah kembali ke rahmatullah petang tadi,” ujar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya, pemergian beliau sangat dirasai oleh PAS khususnya yang terlibat secara langsung dalam memperjuangkan bahasa Melayu untuk didaulatkan sebagai bahasa kebangsaan yang sebenar-benarnya.

Tambahnya, kesediaan beliau menanggung risiko yang besar apabila memimpin Gerakan Mansuhkan PPSMI merupakan satu jasa besar yang sentiasa diingati oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Beliau sanggup turun sendiri ke lapangan rakyat, bersuara, berhimpun dan disiasat pihak berkuasa, semata-mata untuk memastikan tidak matinya bahasa ibunda yang diperjuangkan sejak sekian lama.

“Mengenangkan jasa inilah PAS telah menganugerahkan kepada beliau sebagai 'Tokoh Pejuang Bahasa' dalam muktamar PAS beberapa tahun lalu di Putik Kelantan,” ujarnya yang juga ahli Parlimen Marang.

Sememangnya, kata Ustaz Abdul Hadi sukar untuk dihitung jasa beliau yang sangat besar dan semestinya perjuangan beliau akan diteruskan oleh generasi seterusnya.

“Kita mengharapkan akan tampil lebih ramai lagi tokoh akedemik dan masyarakat seumpama al-marhum yang sedia korbankan masa dan tenaga untuk bersama masyarakat.

“Semoga Allah menempatkan roh beliau bersama orang-orang yang soleh yang mendapat keampunan dan kasih sayang Allah SWT.

“Begitu juga buat keluarga beliau, sahabat handai dan seluruh pendokong perjuangan bahasa ibunda ini, kami doakan diberi kesabaran oleh Allah SWT,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan: