Jumaat, 2 September 2011

Pakatan mahu pemimpin negeri tak ulas agihan kerusi

Susan Loone


Rundingan agihan kerusi di antara parti-parti komponen Pakatan Rakyat masih belum dimuktamadkan manakala pemimpin negeri diminta tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenainya, kata ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

NONEMenurut Anwar, masih terdapat beberapa negeri yang masih gagal menyelesaikan rundingan mereka, sementara ada yang hampir memuktamadkan agihan kerusi mereka menjelang pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Spekulasi bertiup kencang bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mungkin akan membubarkan Dewan Rakyat seawal bulan November ini, meskipun mandatnya berlarutan sehingga Mac 2013.

Menurut Anwar, susulan mesyuarat pemimpin Pakatan di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur minggu lalu, mereka bersetuju supaya semua negeri meneruskan perbincangan bagi memuktamadkan agihan kerusi.

"Kami telah arahkan semua pemimpin negeri DAP, PAS dan PKR supaya terus berunding dan memberi pandangan masing-masing kerana perbincangan masih terbuka,” katanya.

"Kami juga dapati ada kenyataan dikeluarkan tetapi saya berpendapat sentimen yang diluahkan pemimpin tidak digalakan ketika perkara itu belum lagi diselesaikan,” katanya pada majlis rumah terbuka Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Datuk Mansor Othman di Kubang Semang, Pulau Pinang, semalam.

Tiada ulasan: