HARAKAH DAILY
KUALA LUMPUR: Penjelasan tentang pelbagai isu yang dibangkitkan oleh media sekarang dijangka akan dijelaskan dengan sepenuhnya dalam ceramah umum oleh tiga pemimpin utama PAS malam esok, 10 September.
Majlis ini akan menampilkan Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden, Haji Mohamad Sabu.
Ceramah ini akan diadakan di Dewan Koleh Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM), Taman Melewar mula jam 9 malam.
Ia diadakan sempena dengan Konvensyen Negara Berkebajikan yang akan diadakan mulai pagi esok di tempat yang sama.
Ketiga-tiga mereka dijangka menjelaskan pendirian masing-masing terutama dalam isu sejarah kemerdekaan negara ekoran serangan berterusan media BN terhadap Mohamad Sabu.
Hari ini masuk hari ke 14 Mohamad Sabu diserang dalam isu ini kononnya beliau memperkecilkan peranan pasukan keselamatan dan polis dan menyokong komunis.
Ia ekoran ucapan Mohamad Sabu di Pulau Pinang 21 Ogos lalu.
Dalam ucapan itu, Mohamad Sabu berkata, orang ramai tidak lagi meraikan hari merdeka dengan meriah kerana merasakan ia bukan sambutan merdeka yang sebenarnya tetapi majlis meraikan sejarah Umno sahaja.
Padahal, katanya, bukan pemimpin Umno sahaja yang berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan negara tetapi ramai lagi termasuk Mat Indera yang turut menyerang rumah pasong Bukit Kepong pada tahun 1950 ketika Tanah Melayu di bawah penjajahan British.
Nik Aziz sehingga kini menyifatkan laporan Utusan itu mengarut manakala Abdul Hadi mempertikaikan banyak tindakan pemimpin Umno dalam memperjuangkan kemerdekaan negara.
Datuk Onn misalnya dipertikaikan sikapnya kerana banyak mendapatkan nasihat British sebelum membuat sesuatu keputusan untuk kerajaan Johor ketika beliau menjadi pegawai kanan negeri itu. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan