"Berikan sokongan sepenuhnya kepada BN, jangan merajuk, jangan sabotaj, tapi berikan sokongan habis-habisan," kata Pengerusi BN.
SHAH ALAM: Datuk Seri Najib Tun Razak mahu anggota Barisan Nasional (BN) memberikan sokongan penuh kepada parti itu dan bukannya calon yang bertanding jika mahu merampas kembali Selangor pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN berkata semua anggota BN perlu menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan dan memilih calon yang sesuai serta mampu memberikan kemenangan kepada parti itu di Selangor.
“Berikan sokongan sepenuhnya kepada BN, jangan merajuk, jangan sabotaj, tapi berikan sokongan habis-habisan.
“Kita sudah lalui sejarah pahit sejak tiga tahun lepas, jangan biarkan sejarah berulang kembali. Jika ditakdirkan kita tidak menang pada PRU akan datang, maka malang bagi BN di Selangor,” katanya ketika merasmikan Konvensyen BN Selangor di sini hari ini.
Najib yang juga Pengerusi Badan Perhubungan BN Selangor berkata selepas tamparan pada 2008 ekoran kekalahan BN di Selangor, semua pihak sepatutnya tidak memikirkan soal jawatan dalam parti sebaliknya memberikan fokus dan insaf untuk merampas kembali Selangor.
Beliau berkata semua pihak perlu sedar dengan kesilapan lepas dan sama-sama memperbaiki diri dan mempersiapkan parti untuk memenangi hati semua pihak dan bekerja bersungguh-sungguh bagi memberikan semula keyakinan rakyat kepada BN.
“Jangan laung kita rampas, tapi kena laungkan juga kita insaf dengan pengalaman pahit. Sampai masa jika kita tidak jadi wakil rakyat, kita kena bersedia dan sanggup berundur serta terus memberikan sokongan kepada parti,” katanya.
Kata-kata Najib itu disambut dengan teriakan sokongan dari kira-kira 3,000 perwakilan yang dijemput serta mengundang aksi spontan pimpinan tertinggi BN di Selangor yang berada di atas pentas utama untuk sama-sama berdiri dan mengangkat tangan tanda setuju.
Beliau turut mengulangi pertanyaan itu kepada semua hadirin yang turut berdiri dan menyatakan persetujuan.
Ahli sendiri khianati parti
“Saya tanya bukan apa, kadang-kadang bila kita kalah ini, semak punya semak yang khianati kita, ahli kita sendiri,” katanya dalam nada seloroh sambil meminta semua ahli BN setia kepada parti.
Perdana Menteri berkata pemimpin BN di Selangor perlu menjaga hati dan pastikan semua anggota parti sentiasa dekat dengan BN termasuklah generasi baru iaitu golongan muda yang mahu melihat BN sebagai sebuah parti yang ‘cool’.
“Imej kena jaga pendekatan kita juga kena ‘cool’, macam orang muda hari ini mereka lebih gemar dengan panggilan ‘bro’, jadi kita kena fahami mereka terutamanya kebanyakan mereka merupakan pengundi kali pertama,” katanya.
Najib berkata bacaan politik di Selangor juga perlu tepat sekiranya mahu menilai dan memastikan kemenangan BN di negeri itu terutamanya dalam hal membabitkan laporan penilaian yang dihantar kepada pihaknya.
“Bacaan politik kena tepat, jangan tipu diri sendiri, jangan tipu pemimpin di atas, kalau buat program bukan ‘output’ yang penting tapi ‘outcome’,” katanya.
Beliau berkata BN perlu jujur dan ikhlas dalam tindakan dan langkah yang diambil dalam perjuangan untuk merampas semula Selangor termasuk mempunyai akujanji tiada sengketa dalam BN sendiri serta parti-parti komponen.
“Jika semangat yang ada dalam dewan hari ini mampu dibawa keluar dan disampaikan kepada ahli-ahli BN di luar sana, saya yakin kita mampu merampas semula Selangor,” katanya. Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan