Jumaat, 16 September 2011

Najib sedari tiga realiti baru landskap politik, kata Saifuddin

TERKINI



Datuk Seri Najib Razak bersama sebahagian anggota Kabinet mengibarkan Jalur Gemilang selepas menyampaikan perutusan khas Hari Malaysia, malam tadi. — Foto oleh Choo Choy May


KUALA LUMPUR ─ Langkah pemansuhan beberapa undang-undang dikritik rakyat dan menarik balik tiga proklamasi darurat merupakan mercu tanda ke arah transformasi politik yang komprehensif dan amalan budaya politik baru mengambil kira realiti semasa dan kesejahteraan rakyat, kata Datuk Saifuddin Abdulllah.

Ahli Majlis Tertinggi Umno ini berkata perkembangan terbaru juga menunjukkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak jelas mahu mengamalkan demokrasi yang progresif dan matang dengan mengambil kira keseimbangan antara soal-soal keselamatan nasional dan kebebasan individu.

“Terbukti Perdana Menteri amat memahami tiga realiti baru yang sedang berlaku dalam masyarakat iaitu media baru sebagai gelanggang perkongsian; kemunculan kesedaran baru sosial dan transformasi, ketiga demokrasi, yang memerlukan transformasi politik dilaksanakam.

“Ucapan yang berani dan bersejarah, satu mercu tanda ke arah transformasi politik yang komprehensif,” kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi ini kepada The Malaysian Insider.

Dalam perutusan khas sempena Hari Malaysia semalam, Najib mengumumkan bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

Katanya, dua undang-undang baru itu akan digubal di bawah “semangat serta payung” Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.

Perdana Menteri menegaskan bahawa undang-undang baru itu akan memperuntukkan tempoh tahanan polis yang lebih pendek daripada yang dijalankan pada masa ini.Kerajaan juga menjamin bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.

Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa kerajaan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Kajian semula komprehensif ini akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan, kata Najib.

Kerajaan juga akan mengkaji semula seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.

Beliau juga berkata kebenaran berhimpun akan diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak dengan mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu, bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, pengumuman semalam membawa makna yang besar kepada negara dan amat bersejarah.Pemimpin bukan politik ini menambah Akta Keselamatan Dalam Negeri adalah satu akta yang tidak Islamik selain menjejaskan hak asasi individu dan boleh disalahgunakan oleh pemerintah dengan mudah, dan oleh itu tindakan memansukhkannya adalah tindakan yang amat islamik.

“Dalam masa yang sama menunjukkan semangat penghormatan hak rakyat yang tinggi oleh pihak pimpinan Perdana Menteri sekarang dalam isu ini,” katanya lagi.

Kata beliau, sekian lama perjuangan agar akta itu dimansukhkan dan “hari ini Perdana Menteri telah merealisasikan harapan dan impian rakyat ini.”

“Itu satu penunaian hasrat rakyat yang besar untuk melihat sistem pengadilan negara yang lebih baik,” kata beliau.

Tambah beliau, pengumuman malam tadi juga lebih berharga dari segala pemberian bonus dan kenaikan gaji kerana pemansuhan ini bererti mengembalikan hak asasi insani yang lebih berharga dari wang ringgit.

“Ini bererti ia sebuah hadiah daripada Perdana Menteri yang bermakna sempena Hari Malaysia,” kata beliau lagi.

Malah katanya, pengumuman ini bererti usaha transformasi negara dan kesedaran kerajaan Perdana Menteri sekarang tentang perubahan situasi rakyat tidak boleh dianggap retorik politik semata, sebaliknya ia telah diterjemahkan dalam beberapa langkah yang berani dan bermakna.

“Rakyat yang insaf, tanpa mengira parti hendaklah berterima kasih kepada pengumuman ini. Kita hendaklah berpolitik secara matang, memuji apa yang patut dipuji, menyokong apa yang patut disokong, membantah apa yang patut dibantah, mengkritik apa yang patut dikritik,” kata beliau.

Tiada ulasan: