Sabtu, 17 September 2011

Najib: ‘Mansuh ISA usaha BN, orang lain usah ambil kredit’

THE MALAYSIAN INSIDER


Najib menyampaikan ucapan beliau ketika majlis Sirih Pulang ke Gagang di Shah Alam hari ini. — Foto oleh Choo Choy May


KUALA LUMPUR— Inisiatif untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah keputusan dibuat kerajaan Barisan Nasional (BN) dan bukan perjuangan mana-mana pihak lain, tegas Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Justeru Perdana Menteri mengingatkan jangan ada pihak atau individu yang mahu mendapat nama bahawa pengumuman beliau untuk memansuhkan ISA itu adalah hasil perjuangan mereka.

“Jadi jangan hendaknya ada orang yang nak dapat nama kononnya pengumuman saya dua malam lalu adalah kerana hasil perjuangan mereka,” kata Pengerusi BN ini.

Beliau berucap pada majlis ramah mesra pemimpin-pemimpin BN Sirih Pulang ke Gagang di Shah Alam hari ini.

“Ini bukan hasil perjuangan mereka tetapi adalah keputusan yang dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional kerana ia adalah kerajaan yang mendengar isi hati rakyat yang inginkan perubahan sedemikian rupa,” kata Najib lagi.

Dalam perutusan khas sempena Hari Malaysia kelmarin, Najib mengumumkan bahawa ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

Dua undang-undang baru akan digubal di bawah “semangat serta payung” Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.

Perdana Menteri menegaskan bahawa undang-undang baru itu akan memperuntukkan tempoh tahanan polis yang lebih pendek daripada yang dijalankan pada masa ini.

Kerajaan juga menjamin bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.

Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa kerajaan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Kajian semula komprehensif ini akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.

Kerajaan juga akan mengkaji semula Seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.

Beliau juga berkata kebenaran berhimpun akan diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak dengan mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa.

Najib yang juga Presiden Umno berkata keputusan yang dibuat itu adalah selaras dengan hasratnya untuk mengkaji ISA ketika mengambil alih jawatan Perdana Menteri dua tahun lepas.

Kata beliau, perubahan itu akan meletakkan Malaysia di landasan yang lebih kukuh kerana ia akan membentuk sebuah demokrasi yang lebih progresif dan lebih terbuka di samping itu dapat memelihara keharmonian dan ketenteraman awam.

“Kita inginkan keseimbangan di antara keterbukaan dan hak asasi individu di samping menjaga ketenteraman awam dan kepentingan rakyat jelata,” katanya dipetik Bernama.

Sehubungan itu kata Najib, kerajaan BN akan membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih maju, moden, terbuka dan progresif yang menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan secara inklusif.

“Kita juga akan membentuk sebuah negara yang menjaga kepentingan umum dan juga kepentingan hak asasi individu kerana masyarakat kita sudah lebih tinggi taraf pendidikannya dan mereka menuntut kepada pembaharuan yang boleh menjamin masa depan mereka dan hak asasi manusia,” katanya.

Tiada ulasan: