KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perbezaan ideologi antara Malaysia dan China tidak seharusnya menjadi penghalang kepada hubungan dua hala kedua-dua negara terutama dalam aspek perdagangan.
Justeru menurut beliau, kehadirannya dalam majlis makan malam bersama Setiausaha Agung Parti Komunis China, Sun Zhenglai malam ini tidak seharusnya dikaitkan dengan Umno yang didakwa sebelum ini mempunyai hubungan baik dengan parti berkenaan.
"Dari segi hubungan diplomatik, kita dengan China adalah antara yang terbaik sekarang. Malah China merupakan negara perdagangan yang pertama dan nombor dua dari segi nilai eksport seluruh dunia.
"Saya tak melihat hal sebegitu (hubungan baik dengan komunis). Tak ada kena mengena dengan soal itu (isu komunis).
"Soal yang kita hadapi, (kenyataan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu) adalah soal dalaman. Bukan soal kita nak menentang mereka," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis anugerah dan tawaran baru kepada pengetua dan guru besar Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan 2010 di Bahagian Teknologi Pendidikan, Bukit Kiara di sini, Selasa.
Muhyiddin dijadual akan menghadiri majlis jamuan makan malam bersama Zhenglai di sebuah hotel malam ini (Selasa).
Sambil menyifatkan majlis makan malam itu bagi mempertingkatkan hubungan diplomatik antara Malaysia-China, Muhyiddin berkata dasar berkenaan memberi faedah yang baik kepada negara ini.
Jelasnya semua pihak perlu melihat hubungan berkenaan dari aspek perkembangan ekonomi dan bukannya soal ideologi.
"Hubungan antarabangsa itu biasa. bukan sahaja Malaysia, negara lain pun ada hubungan. Hubungan antarabangsa memberi faedah kepada kita, kita bukan menganut ideologi mereka.
"Isu idelogi adalah hak dan urusan negara mereka, kita tak terima idelogi itu. Tapi itu tidak jadi satu halangan untuk kita berhubung dengan negara sebegitu kerana kita tahu ada banyak faedah.
"Kalau kita tak berhubung baik dengan China, yang ruginya kita. Kita kena pragmatik dalam soal ini kerana kita mempunyai matlamat yang lebih besar...hubungan baik dengan mana-mana negara adalah penting," katanya.- mStar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan