Isnin, 12 September 2011

Minum petang Najib-Hakim timbul persoalan pemisahan kuasa

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk “minum petang” dengan beberapa hakim tertinggi di Istana Kehakiman telah menimbulkan prasangka Majlis Peguam terhadap sistem pemisahan kuasa di negara ini.

Dalam satu kenyataannya, pengerusinya Lim Chee Wee (gambar) berkata adalah penting untuk membezakan antara pembaharuan kehakiman yang menjadikan proses pentadbiran cekap dalam satu tangan, dan pembaharuan untuk mengatasi masalah, yang dilihat atau sebaliknya, dengan integriti kehakiman.

“Sesetengah berpandangan bahawa adalah tidak menyenangkan untuk ketua-ketua tiga cabang kerajaan untuk mengadakan mesyuarat rasmi atau untuk bersosial sekali-sekala. Ini mungkin amat benar di mana institusi masing-masing adalah kukuh dan bebas, dan dilihat sebagai demikian, sekali gus menikmati keyakinan orang ramai.

"Yang menggelisahkan kini ialah kesenyapan orang awam ke atas 'jamuan teh petang' ini boleh dilihat sebagai tanda bahawa institusi kita tidak lagi menikmati keyakinan penuh,” kata beliau.

Minggu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meluangkan masa melawat Istana Kehakiman untuk satu jamuan teh petang yang didakwanya kerana menerima undangan mantan Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi.

Najib berkata, beliau hanya bersedia melakukan lawatan kerja ke Istana Kehakiman tersebut apabila menerima undangan daripada Zaki sendiri.

"Sebenarnya dalam menimbang untuk membuat lawatan kerja ke Istana Kehakiman ini, saya mengambil sikap berhati-hati supaya tidak timbul sebarang tanggapan atau perspektif negatif mengenai hubungan antara badan eksekutif dan badan kehakiman.

"Jalinan hubungan ini bukan hanya perlu sempurna tetapi ia juga perlu nampak sempurna," kata beliau.

Malah, beliau menambah, Zaki sendiri menganggap lawatan itu tidak akan memberi sebarang tanggapan atau perspektif negatif dari masyarakat umum.

"Saya berani buat lawatan ini apabila Ketua Hakim Negara (Zaki) yang mengundang dan beliau menyatakan tidak ada masalah kerana pertemuan seperti ini pernah berlaku sebelum ini," katanya.

Selepas dikecam, Zaki menyangkal mengenai lawatan Najib ke Istana Kehakiman sebagai tanda campur tangan politik dalam badan kehakiman negara.

“Perdana Menteri adalah ketua badan kehakiman bagi tujuan pentadbiran terutama dalam soal peruntukan kerana beliau akan mewakili kami di Parlimen. Ia adalah fakta yang tidak boleh dinafikan.

“Selama ini, beliau (Najib) sentiasa menjarakkan hubungan dengan pihak hakim tetapi kini, mungkin memikirkan bahawa saya akan bersara tidak lama lagi, maka dia sudi melawat kami. Itu sahaja.

“Kerajaan membelanjakan banyak wang bagi memantapkan badan kehakiman. Bukankah sesuatu yang wajar untuk beliau memastikan bagaimana peruntukan itu dibelanjakan? Adakah kami akan terpengaruh dengan hanya minum teh bersama Perdana Menteri?” katanya.

Berdasarkan kenyataan Najib, Lim berkata masa sudah sampai untuk kerajaan melaksanakan dengan segera cadangan yang terkandung dalam siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja yang ditubuhkan bagi menyiasat klip video seorang peguam yang dikatakan cuba mempengaruhi pelantikan badan kehakiman pada 9 Mei 2008.

Menurut Lim, suruhanjaya Diraja yang ditubuhkan untuk menyiasat perbualan peguam Datuk V K Lingam dan Ahmad Fairuz berbual menerusi telefon mengenai pelantikan hakim mencadangkan agar Perkara 121(1) Perlembagaan Persekutuan ditukar kembali ke bentuk asalnya supaya “badan kehakiman boleh bebas sekali lagi untuk mencapai harapan tertinggi masyarakat selama ini – dengan ini tiada ruang untuk kebimbangan mengenai isu kuasa kehakiman."

Menurut Professor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi, pemindaan Perkara 121(1) telah menimbulkan persepsi silap bahawa badan eksekutif negara berhasrat untuk mendiamkan badan kehakiman, dan ini telah memalukan semua hakim negara.

Kata Lim lagi, adalah tanggungjawab Perdana Menteri dan kerajaan untuk berusaha ke arah komitmen yang diisytiharkan itu untuk mencapai satu sistem kehakiman yang bebas, dan dakwaan bahawa hubungan antara pelbagai institusi kerajaan mesti, tidak hanya menjadi betul, tetapi juga mesti dilihat sebagai betul.

“Majlis Peguam turut berharap Badan Kehakiman dapat mengukuhkan kebebasannya, dan berusaha untuk mengembalikan doktrin pengasingan kuasa ke tempat yang sah dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Malaysia,” tambah beliau.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, N Surendran berkata, pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk 'minum petang' dengan beberapa hakim tertinggi di Istana Kehakiman, menimbulkan kecurigaan dan merbahaya.

Katanya, tindakan itu boleh menyebabkan orang ramai tidak yakin Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menerima perbicaraan yang adil dalam kes yang dihadapinya.

“Perkara yang lebih memburukkan adalah hakim-hakim tertinggi turut sama ikut serta dalam perjumpaan ini yang terus menghakis keyakinan orang ramai dalam sistem kehakiman kita,” kata Surendran.

Tiada ulasan: