Rabu, 28 September 2011

MB S’gor ingin temui penyewa PKNS

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pihaknya juga akan membuat kajian mengenai perbandingan kadar sewa antara kompleks itu dengan bangunan lain di sekitar kawasan berkenaan.



SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor akan mengadakan perbincangan dengan penyewa lot kedai di Kompleks Perbadanan Kemajuan

Negeri Selangor (PKNS) berhubung kadar sewa baru antara 30 hingga 100 peratus yang akan diperkenalkan bermula Januari tahun depan.

Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata pihaknya juga akan membuat kajian mengenai perbandingan kadar sewa antara kompleks itu dengan bangunan lain di sekitar kawasan berkenaan.

“Sebagai ahli lembaga pengarah PKNS, saya akan masuk campur dalam hal ini dan saya bercadang berjumpa penyewa untuk beri penerangan tentang perkara yang sesuai dan munasabah.

“Perkara ini perlu diteliti terlebih dulu dalam semua perkara sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Bangunan SUK di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas berhubung kenaikan kadar baru sewa lot kedai Kompleks PKNS di sini antara 30 hingga 100 peratus yang akan diperkenalkan pada Januari tahun depan.

Media sebelum ini melaporkan kebanyakan peniaga yang sudah berniaga berpuluh-puluh tahun di kompleks itu turut mempertikaikan kenaikan kadar baru sewa dan berpendapat perkara berkenaan hanya akan membebankan mereka yang kebanyakannya Bumiputera.

Ketika ditanya sama ada kerajaan negeri akan menangguhkan kenaikan kadar sewa itu, beliau berkata perbincangan akan dibuat terlebih dulu.

“Sebab itu saya akan mengadakan pertemuan dengan penyewa dan buat kajian mengenai kadar sewa yang dikenakan oleh syarikat lain di bangunan sekitarnya,” katanya.

Sebelum ini, sebuah laman blog, http://darulehsantoday.blogspot.com mendakwa tiga bangunan milik PKNS dan rakyat Selangor yang dibangunkan hasil pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini akan diambil alih oleh sebuah syarikat pelaburan amanah bermula Januari 2012.

Selain pengambilalihan itu, PKNS juga melalui sepucuk surat bertarikh 12 September 2011 kepada penyewa Kompleks PKNS Shah Alam akan menaikkan kadar sewa premis di pusat komersial itu termasuk akan menamatkan sewaan mana-mana peniaga yang kurang berdaya saing.

Berdasarkan surat itu, kadar baru sewa premis adalah antara RM4 hingga RM5.20 sekaki persegi bagi tingkat bawah berbanding ketika ini sebanyak RM2.50 hingga RM3.50 sekaki persegi.

Bagi tingkat satu, kadarnya ialah RM2.50 hinga RM3.50 sekaki persegi berbanding RM2 hingga RM2.20 sekaki persegi ketika ini.

Selain itu, kadar sewa kiosk turut dinaikkan kepada RM1,000 seunit berbanding RM500 seunit ketika ini.

Tiada ulasan: