Sabtu, 17 September 2011

MB Selangor : Pusat Perlu Nilai Semula Akta Rahsia Rasmi (OSA)

Ditulis oleh Afix Redzuan


IJOK : Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta kerajaan pusat untuk bersifat terbuka bagi membuat penilaian semula terhadap Akta Rahsia Rasmi (OSA) selepas Perdana Menteri,Datuk Seri Mohd Najib Razak mengumumkan untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagai usaha pembaharuan politik di negara ini.

Katanya, penilaian semula OSA adalah perlu memandangkan dengan cara ini, sistem pengurusan negeri dan negara dapat dilakukan dengan cara yang terbuka bagi mengelakkan penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Saya mencadangkan supaya kerajaan persekutuan juga melihat juga terhadap Akta OSA, Official Secret Act ataupun Akta Rahsia Rasmi yang membolehkan kita menjalankan pengurusan negeri dengan cara yang terbuka supaya tidak berlakunya penyelewengan kerana dengan cara itu kepimpinan negeri dan negara dapat dilakukan dengan cara yang terbaik,” katanya ketika menyampaikan Skim Bantuan Pemberian Cermin Mata untuk Pelajar di Kampung Harmoni, Ijok.

Beliau menambah, suara rakyat ternyata memberikan kesan yang besar kepada negara dalam mencorakkan halatuju seterusnya memandangkan ISA merupakan akta yang menghalang demokrasi di negara ini.

“Barisan Nasional telah menerima hakikat bahawa ISA, satu undang-undang yang memeras rakyat, akan mula diubah atau dihapuskan kerana ianya telah memberikan kesan negatif dalam usaha demokrasi

Turut hadir, Isteri Menteri Besar Selangor, Puan Sri Salbiah Tunut, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad, Adun Bukit Melawati, Muthiah Maniapillay dan wakil penduduk.

Seramai 100 orang pelajar telah dipilih menerima cermin mata melalu Program Pemberian Cermin Mata kepada pelajar-pelajar miskin.

Program ini merupakan kerjasama kerajaan negeri melalui stanco kesihatan dan kemiskinan dengan Hospital Mata Tun Hussein Onn (THONEH) hasil buah fikiran Menteri Besar semasa lawatan beliau ke hospital tersebut sebelum ini.

Setiap Dun akan memperuntukan sejumlah RM10,000 daripada dana Adun untuk program ini yang meliputi seluruh 56 Dun negeri Selangor dengan Ijok dipilih sebagai lokasi pelancaran rasmi program.

Skim ini dikhaskan kepada ibu bapa yang berpendapatan RM1,500 ke bawah sebulan.

Bagi mekanisme perlaksanaan, THONEH akan menghantar pasukannya melakukan pemeriksaan di setiap sekolah yang telah ditetapkan dan dikenalpasti di setiap Dun.

Selepas pemeriksaan, nama-nama pelajar yang dikenalpasti memerlukan pemakaian cermin mata akan diserahkan kepada pejabat adun untuk dinilai berdasarkan kelayakan murid mengikut pendapatan ibu bapa.

Selepas mendapat kelulusan, pihak THONEH akan menyediakan cermin mata tersebut dan kemudiannya diserahkan kepada pejabat Dun untuk diberikan kepada pelajar atau ibu bapa mereka.

Tiada ulasan: