Jumaat, 9 September 2011

MAS kecewa kesatuan ancam tindakan industri

MALAYSIA KINI


Malaysia Airlines (MAS) menyuarakan kekecewaan terhadap pelbagai laporan berita mengenai ancaman tindakan industri oleh tiga kesatuan dalam MAS.

Menurut MAS, Kesatuan Pekerja-pekerja MAS Semenanjung Malaysia (MASEU), Kesatuan Pekerja Penerbangan Sarawak (AWUS) dan Kesatuan Sekerja Penerbangan Sabah (ATWUS), turut dilibatkan dalam pelbagai urusan berkaitan Kerangka Kerja Usaha Sama Komprehensif (CCF).

"MAS mahu menjelaskan bahawa CCF bukannya melibatkan pertikaian perdagangan dan menganggap CCF sebagai urusan pengurusan, lembaga pengarah dan pemegang saham yang dilakukan dengan mengambil kira kepentingan terbaik syarikat itu.

"Bagaimanapun MAS sentiasa meletakkan kepentingan pekerja sebagai keutamaan dalam semua keputusan perniagaan," kata syarikat penerbangan negara itu dalam kenyataan.

MAS berkata ia telah dan akan terus melibatkan kesatuan.

MAS juga berkata pengurusan kini bekerja keras untuk menyelesaikan butiran penggabungan dan akan mengumumkannya secara rasmi, tertakluk kepada kelulusan pengawal aturan, pada masa yang sesuai.

Semalam tiga kesatuan itu mempunyai keanggotaan seramai 15,000 orang mengumumkan anggotanya akan berpiket ekoran pertukaran saham syarikat penerbangan kebangsaan itu dengan AirAsia.

Presiden Maseu Alias Aziz dilaporkan berkata mereka berpendapat bahawa janji niaga itu tidak akan memberikan manfaat kepada MAS, dan percaya pengurusan baharu syarikat penerbangan itu merancang mewujudkan satu jenama baharu dalam syarikat penerbangan sebagai sebahagian daripada langkah menghapuskan kesatuan.- Bernama

Tiada ulasan: