Jumaat, 23 September 2011

LPF: Jakim akui Hantu Bonceng tak hina Nabi Muhammad

THE MALAYSIAN INSIDER



Iklan mempromosikan filem Hantu Bonceng


KUALA LUMPUR ─ Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan dialog mengenai syahadah dalam filem Hantu Bonceng yang ditayangkan sejak akhir bulan lalu tidak mempersendakan Nabi Muhammad.

Pengesahan itu dibuat setelah pegawai jabatan berkenaan menonton filem itu, kata Pengerusi Lembaga Penapis Filem (LPF) Datuk Raja Azahar Raja Abdul Manap.

Beliau berkata dalam babak pelawak terkenal Zizan yang sedang terlantar di hospital selepas kemalangan jalan raya yang menyebabkan wanita yang membonceng motosikalnya maut, Zizan telah mengucap kalimah syahadah setiap kali muncul wajah wanita yang maut itu.

“Dalam kesemua kalimah (Zizan) ada elemen berhenti sekejap. Oleh itu, tidak timbul sama sekali isu mempersendakan syahadah kerana perkataan syaitan tidak disebut dalam satu nafas,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, LPF sejak kali pertama menapis filem itu telah memberi perhatian yang teliti sebelum membuat keputusan.

“Lembaga sentiasa berpegang kepada empat elemen utama dalam sesuatu penapisan iaitu keselamatan dan ketenteraman awam, keagamaan, sosiobudaya, ketertiban dan ketatasulisaan.

Dalam isu ini elemen keagamaan telah diberi perhatian cermat dan teliti oleh lembaga, kata beliau.

Sebelum ini Dewan Pemuda PAS Malaysia dan pelbagai pihak dalam media massa serta blog mendakwa bahawa LPF cuai membuat tapisan sehingga filem itu diluluskan untuk tayangan di pawagam.

Malah, sebelum ini, Mohd Razizan Abd Razak yang membintangi filem itu memohon maaf jika kalimah yang digunakan dalam filem kontroversi itu telah menghina Islam.

Mohd Razizan yang turut dikenali sebagai “Zizan RL” dilaporkan berkata, dia tidak mungkin secara sengaja atau tergamak mahu menghina agama sendiri.

“Takkanlah saya hendak hina Rasul saya sendiri. Kan, dalam babak perkataan setan itu diajukan kepada kunyit. Dalam penapisan filem ada empat ulama dan telah diluluskan filem ini.

“Saya faham apa yang salah. Tetapi fasal hina Islam memang jauh dari otak fikiran saya. Tak ada langsung terniat. Ini adalah agama dan Rasul saya. Maaf sekiranya saya silap,” katanya.

Filem Hantu Bonceng disiarkan sejak awal Syawal sempena sambutan Aidilfitri dan turut mencatat rekod dalam kutipan jualan tiket. Ia diarahkan oleh Ahmad Idham Ahmad Nazri.

Filem itu yang diterbitkan oleh Excellent Pictures Sdn. Bhd. turut dibintangi oleh Juliana Evans, Jue Aziz, Dottie, Tai dan Zahid Baharudin.

Dewan Pemuda PAS berkata pihaknya sangat kesal dengan kelemahan ketara LPF dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sehingga membenarkan filem-filem berbaur penghinaan kepada Islam diterbitkan dengan yang terbaru Hantu Bonceng.

“Salah satu babak dilakonkan secara jelas menghina Rasulullah s.a.w. apabila Zizan menyebut ‘Asyhadu anna Muhammadar Syaitan’ yang membawa maksud ‘aku naik saksi bahawa Muhammad itu syaitan.

“Kalimah syahadah bukan perkataan yang boleh dijenakakan atau dipersenda sedemikian rupa,” kata Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan.

Tiada ulasan: