Sabtu, 10 September 2011

Kereta Tian Chua Dipecah, Dokumen Hilang

TVS NEWS


KUALA LUMPUR : Naib Presiden PKR, Tian Chua mendakwa kehilangan komputer pintar iPad dan beberapa dokumen penting miliknya selepas keretanya dipecahkan kira-kira jam 11.00 malam tadi.

Tian berkata, kehilangan itu hanya disedari ketika beliau beredar ke keretanya selepas makan di sebuah medan selera di Taman Megah, Petaling Jaya.

“Saya belum dapat pastikan dokumen apa dalam beg itu, tapi laporan polis dah dibuat,” kata Tian dipetik Keadilandaily.
Bagaimanapun, menurut Tian, beliau tidak mengesyaki mana-mana pihak bahawa ia ada kaitan dengan pengurusan kes perhimpunan Bersih 1.0 yang dihadapinya.

“Saya tak rasa kecurian ada kena mengena dengan pengurusan kes yang berlangsung hari ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Batu.

Kes itu difailkan oleh pendakwaraya untuk mengenepikan keputusan pembebasan beliau.

Pada 19 November 2010, Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh membebaskan 17 orang termasuk Tian dan Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan daripada tuduhan menyertai perhimpunan tidak sah anjuran NGO itu empat tahun lalu.

Dalam keputusannya Jagjit berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bahawa perhimpunan itu haram dan wujud kecacatan dalam pertuduhan.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan dengan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail sendiri mendakwa mereka di mahkamah.

Tian Chua diwakili oleh peguam Amer Hamzah Arshad. Hakim menetapkan 21 November depan untuk menentukan tarikh pendengaran kes.

Tiada ulasan: