Jumaat, 16 September 2011

Kerangka sama perlu ada dalam akta baru ganti ISA


MEDAN - Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) mencadangkan supaya undang-undang baru bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) yang akan dimansuhkan, mempunyai kerangka serupa dalam menangani isu ekstremisme dan kawalan awal dalam isu-isu sensitif yang boleh mengancam keselamatan negara.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, ini disebabkan banyak isu sensitif yang boleh timbul, sekali gus mencetuskan perkara tidak diingini terutama daripada segi politik, agama dan kaum.

"Saya mengharapkan kalaulah ia (ISA) dihapuskan, apa yang digantikan tidak begitu longgar untuk melepaskan kegiatan-kegiatan yang boleh mengancam keselamatan negara.

"Kita masih perlu satu rangka undang-undang yang boleh dikuatkuasakan dalam isu seperti ini.

“Singapura dan Amerika Syarikat pascatragedi 11 Sept masih ada perkara (undang-undang) yang ketat. Kalau tidak ia akan merosakkan apa yang kita bangunkan selama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Pelaksana Tugas Gabenor Sumatera Utara H. Gatot Pujo Nugroho di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata, Malaysia masih dalam proses pembentukan negara bangsa dan akta pencegahan masih diperlukan berikutan polarisasi kaum yang masih wujud.- Utusan

Tiada ulasan: