Ahad, 25 September 2011

Kali Terakhir Kadar Sewa Lot Kedai PKNS Dinaikkan Lima Tahun Lalu

Oleh Naeem Raffi


SHAH ALAM : Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) komited untuk menaik taraf infrastruktur selain memberi jaminan kompleks perniagaan PKNS di Bandaraya Shah Alam berwajah baru dan mesra pengguna kepada pengunjungnya.

Pengurus Korporatnya, Noor Hisham Mohd Ghouth berkata, laporan di dada akhbar Utusan Malaysia hari ini bertajuk "Peniaga, pengunjung bimbang. Cadangan naikkan kadar sewa lot kedai di Kompleks PKNS tahun depan", adalah laporan yang kurang tepat dan menimbulkan spekulasi tidak sihat.

Menurutnya, kenaikan kadar sewaan di mana-mana premis perniagaan adalah proses biasa yang tidak dapat dielakkan.

" Sebagai makluman, kadar sewa di PKNS tidak pernah dinaikan lebih daripada lima tahun, berbanding di pusat perniagaan yang lain di mana setiap dua tahun kadar sewa akan disemak dan dikaji, jadi ini adalah perkara biasa apabila kami (PKNS) menaikan kadar sewa,'jelasnya ketika dihubungi Tv Selangor.

Utusan Malaysia di halaman 11 akhbar itu hari ini mengaitkan kenaikan kadar sewa tersebut dengan penjualan tiga aset PKNS (Kompleks PKNS, Menara PKNS Petaling Jaya dan SACC Mall) ke dalam Amanah Raya Real Estate Investment Trust (Arreit).

PKNS mengambil langkah menyuntik aset-aset PKNS ke dalam Real Estate Investment Trust (Reit) sebagai pelan transformasinya bagi memantapkan portfolio pelaburan.

Negara seperti Jepun, Australia, Singapura dan Hong Kong telah melaksanakan aktiviti Reit ini sejak dua dekad yang lalu.

Reit di Malaysia telah mula bertapak seawal tahun 2003, pelabur terawal yang mula menceburi sektor ini termasuklah Kumpulan Axis, Kumpulan Perbadanan Johor (KPJ) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Bagaimanapun, media-media kawalan Umno cuba mengaitkan kenaikan kadar sewaan itu dengan pelaburan yang dilakukan oleh PKNS.

Menurut Noor Hisham, PKNS mempunyai perancangannya yang tersendiri untuk menyediakan keselesaan kepada peniaga dan pengunjung yang membeli-belah di kompleks pernigaan mereka.

"Kita akan menaik taraf kompleks perniagaan ini dalam keadaan yang lebih selesa dan kondusif, kerja-kerja naik taraf ini memerlukan kos, kos ini akan kembali kepada pengunjung...dalam erti kata lain, pengunjung akan menikmati suasana kompleks membeli belah yang lebih selesa, dan peniaga pula akan berniaga dalam suasana yang lebih baik,"katanya lagi.

Justeru itu katanya, keuntungan daripada kepelbagaian usaha ini akan disalurkan semula untuk membiayai projek-projek sosial seperti membina infrastuktur, pembangunan semula serta memberi subsidi silang kepada pembinaan rumah-rumah mampu milik di seluruh Selangor.

Tiada ulasan: