PASPB
KUALA LUMPUR: Pemaksaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) hanya boleh dielakkan dengan menolak Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.
"(Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) telah memberi isyarat yang jelas bahawa GST akan dipaksakan ke atas rakyat selepas pilihan raya akan datang, maksudnya selepas BN menang dalam pilihan raya akan datang.
"Dengan sendirinya ia memberi mesej yang jelas kepada rakyat supaya menolak BN habis-habisan dalam pilihan raya akan datang jika mereka tidak mahu GST dipaksakan ke atas mereka," katanya.
Baru-baru ini, Perdana Menteri berkata: "Persoalannya ialah masa. Saya berpendapat apabila tiba masanya, dalam masa terdekat... kemungkinan selepas pilihan raya akan datang, kami akan memperkenalkan GST".
Mahfuz menyifatkan tindakan memaksakan GST ke atas rakyat itu sebagai gambaran jelas sikap tidak bertanggungjawab kerajaan BN.
"Dari dulu lagi, asal menghadapi masalah, simpanan rakyat seperti di dalam KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dikerjakan oleh kerajaan BN.
"Sekarang, zaman pemerintahan Najib, lebih teruk lagi. Asal menghadapi masalah kewangan, rakyat hendak disiksa.
"Hendak rentap subsidi dari rakyat dengan alasan subsidi adalah candu kepada rakyat, hendak paksakan GST dan pelbagai tindakan lain menyiksa rakyat dengan memaksa mereka menanggung beban ketidakmampuan kerajaan BN yang sudah kehilangan akal untuk meningkatkan pendapatan negara," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Menurut Mahfuz, sebuah kerajaan yang bertanggungjawab sepatutnya mencari jalan untuk mengurangkan beban rakyat dan bukannya seperti kerajaan BN yang jelas begitu ketagih untuk menyiksa dan membebankan rakyat.
"Bila menghadapi masalah kewangan, langsung tidak terfikir untuk menghentikan sikap boros, menghentikan projek yang bukan-bukan seperti hendak membina bangunan 100 tingkat dengan membelasah hasil simpanan rakyat, menghentikan rasuah, melaksanakan tender terbuka dan pelbagai amalan yang boleh menjimat dan meningkatkan pendapatan negara.
"Yang kerajaan BN tahu hanyalah hendak menyiksa rakyat dengan memaksa rakyat mengeluarkan lebih banyak lagi wang dari poket mereka, tidak kiralah dengan merentap subsidi, memaksakan cukai seperti GST, menguatkuasakan pelbagai saman dan lain-lain tindakan yang tujuannya hanya satu, iaitu memeras wang rakyat dan meragut wang dari poket rakyat," katanya.
Menurut Mahfuz, tidak ada gunanya menggula-gulakan rakyat kononnya dengan mengajak mereka mengucapkan selamat tinggal kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), tetapi pada masa yang sama memaksa mereka mengucapkan selamat datang kepada GST.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan