Jumaat, 9 September 2011

Guna dakwat kekal: JTP akan buat keputusan



PUTRAJAYA - Jemaah Menteri yang bermesyuarat semalam memutuskan menyerahkan keputusan penggunaan dakwat kekal dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang kepada Jawatankuasa Terpilih Parlimen (JTP) yang baru dibentuk.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz berkata, cadangan penggunaan sistem biometrik turut diputuskan diserahkan kepada JTP.

''Laporan yang mengatakan Kabinet bersetuju menggunakan dakwat kekal dalam pilihan raya umum seperti yang disiarkan akhbar berbahasa Cina dan dipetik oleh beberapa portal berita adalah tidak betul.

''Sebenarnya tidak ada keputusan, kita bincang secara umum perkara itu dan memutuskan apa-apa keputusan yang hendak dibuat diserahkan kepada JTP, ini termasuklah isu dakwat kekal dan biometrik," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Nazri mengulas laporan akhbar yang memetik Kabinet yang bermesyuarat semalam bersetuju dengan penggunaan dakwat kekal dalam pilihan raya.

Tegas beliau, tanggungjawab untuk membuat keputusan sewajarnya diberikan kepada JTP sejajar dengan matlamat penubuhannya.

Jawatankuasa itu akan berbincang serta mencari kata sepakat mengenai bentuk penambahbaikan yang perlu dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum dilaksanakan pada pilihan raya umum akan datang sekali gus menjadi bukti kerajaan komited dengan sistem pilihan raya yang bersih.- Utusan

Tiada ulasan: