BN Sarawak akan mengemukakan beberapa muka baru untuk digandingkan dengan muka lama dalam pilihan raya Parlimen akan datang.
KUCHING: Barisan Nasional (BN) Sarawak akan mengemukakan beberapa muka baru dalam senarai calon yang bertanding pada pilihan raya Parlimen akan datang.
Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Abang Haji Johari Tun Abang Haji Openg berkata, calon-calon yang dikemukakan itu akan menghasilkan gandingan mantap antara muka lama dan baru untuk melahirkan pemimpin pelapis.
Beliau berkata, pemilihan calon-calon ini juga mencerminkan persefahaman dan kesepakatan antara penyandang kerusi Parlimen yang memberi laluan kepada muka baru untuk meneruskan kesinambungan perjuangan parti.
“Terdapat beberapa muka baru yang tersenarai sebagai calon pilihan raya Parlimen ini. Bagaimanapun, keputusan (senarai penuh) akan diumumkan oleh Pengerusi BN Negeri apabila tiba waktunya kelak.
“BN juga mengalu-alukan hasrat anak Ketua Menteri, Dato Sri Mahmud Abu Bekir bertanding pada pilihan raya Parlimen akan datang jika beliau serius,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Satok itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung calon yang akan bertanding dan tidak mempertahankan kerusi Parlimen.
Sementara itu, Johari yang juga Menteri Pelancongan dan Warisan akan mengadakan lawatan ke Maldive bagi mempelajari cara kerajaan negara berkenaan membangunkan pulau-pulau mereka sebagai destinasi pelancongan terkemuka di dunia pada minggu depan.
Menurutnya, deligasi kementeriannya itu turut disertai beberapa agensi berkaitan termasuk dari syarikat penerbangan.
“Kerajaan negeri berhasrat untuk menjadikan pulau-pulau yang wujud di Empangan Bakun dan Batang Ai sebagai tarikan kepada pelancongan tempatan dan luar negara sama seperti di Maldive,” katanya sambil membayangkan tempoh selama dua tahun diguna untuk membangunkan kemudahan asas atas tasik di empangan berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan